Rogol amah: Ahli perniagaan dipenjara 12 tahun

Iklan
Seorang ahli perniagaan dihantar ke penjara selama 12 tahun hari ini selepas gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman kerana merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia, pada 2016. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Seorang ahli perniagaan dihantar ke penjara selama 12 tahun hari ini selepas gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman kerana merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia, pada 2016.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan supaya perayu dikenakan lima sebatan.

Iklan
Iklan

Ini berikutan keputusan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Wong Kian Kheong, yang sebulat suara menolak rayuan dikemukakan Sufian Sulaiman, 49, terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Mei 2018.

Dia dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 19 tahun ketika itu di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur, antara jam jam 3 dan 4 pagi pada Julai, 2016.

Iklan

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 28 Ogos, 2020.

Wong, yang bersidang bersama-sama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Hadhariah Syed Ismail, berkata tiada sebab untuk mengganggu dapatan serentak oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Sufian atas kesalahan itu.

Iklan

Beliau berkata, hakim perbicaraan telah mempertimbangkan semua keterangan dalam kes itu terutamanya kelakuan mangsa yang memberitahu kakak ipar Sufian dan rakan kakak ipar mengenai kejadian itu.

Katanya, kes tersebut serius di mana majikan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga pembantu rumahnya tetapi sebaliknya mengkhianati tanggungjawab tersebut.

Hakim Wong, bagaimanapun, berkata mahkamah membenarkan rayuan Sufian untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 14 kepada 12 tahun.

Beliau kemudian mengeluarkan waran komital terhadap Sufian untuk memulakan hukuman penjara mulai hari ini.

Sufian diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Geethan Ram Vincent dan Kee Wei Lon manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang. - Bernama