Kaji kaedah terbaik tangani provokasi 3R

Iklan
Setiap parti bertanding perlu mengeluarkan garis panduan yang harus dipatuhi oleh calon-calon dan pemimpin mereka, agar lebih berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan ketika berkempen. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Esok bermula secara rasmi proses pilihan raya untuk enam negeri bagi memilih kerajaan baharu masing-masing, dan ahli politik serta pemerhati menjangka bahang pemilihan pada 12 Ogos ini lebih hangat berbanding pilihan raya-pilihan raya terdahulu.

Mereka melihat pilihan raya negeri (PRN) yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu itu sebagai pengukur penerimaan rakyat terhadap keputusan pilihan raya umum pada November tahun lepas yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Iklan
Iklan

Justeru, tidak menghairankan jika sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN kali ini turut menyaksikan parti-parti bertanding menggunakan pelbagai taktik untuk menarik sokongan rakyat, termasuk membangkitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi raja).

Sekalipun telah ada pemimpin politik yang diambil tindakan undang-undang kerana menyentuh isu 3R, penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi percaya isu itu akan terus dimainkan oleh calon-calon bertanding pada PRN di enam negeri terbabit kerana 3R adalah perkara yang dekat dengan rakyat.

Iklan

Sehubungan itu katanya, setiap parti bertanding perlu mengeluarkan garis panduan yang harus dipatuhi oleh calon-calon dan pemimpin mereka, agar lebih berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan ketika berkempen.

"Isu 3R boleh dimainkan tetapi ada batasnya, tidak boleh menyentuh perkara-perkara yang sensitif seperti melibatkan kaum, agama dan institusi raja, jadi mereka yang terlibat dalam berkempen perlu berwaspada.

Iklan

"(Lebih-lebih lagi) kerajaan (persekutuan) kali ini nampaknya sangat tegas tentang isu 3R apabila ada pemimpi telah didakwa (di mahkamah), barangkali kerana (aspek 3R) membabitkan keharmonian negara,” katanya kepada Bernama.

Ketegasan kerajaan persekutuan dalam menangani isu 3R turut dicerminkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menekankan keperluan mewujudkan unit khas bagi mengendalikan sebarang kenyataan provokatif berkaitan agama, kaum dan institusi raja sepanjang PRN.

Pada Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, jemaah menteri bersetuju agar Akta Hasutan 1948 disemak semula, khusus bagi melindungi institusi raja daripada dijadikan bahan provokasi.

Perjelaskan isu 3R

Sementara itu, pensyarah kanan Program Sains Politik, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Jamaie Hamil berkata, sudah tiba masa satu akta khusus tentang 3R diwujudkan bagi menangani sebarang provokasi yang dicetuskan oleh pelbagai pihak, pada bila-bila masa.

Beliau melihat undang-undang khusus penting kerana akta sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 didapati sukar menangani isu 3R disebabkan oleh ketiadaan takrifan yang jelas.

"Akta sedia ada boleh menguatkuasakan hukuman ke atas kesalahan membabitkan isu 3R, namun usaha itu memerlukan proses dan masa yang panjang dalam perdebatan di mahkamah kerana definisi yang kurang jelas, malah ada kebarangkalian berlaku konflik,” katanya.

Menurut beliau, hal itu boleh diatasi dengan undang-undang baharu yang bukan sahaja mempunyai takrifan jelas dan menyeluruh tentang perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti 3R, tetapi turut menggariskan jenis hukuman bersesuaian.

Katanya, pewujudan undang-undang baharu itu bukan bermaksud kerajaan mahu menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bertujuan menjaga batas dan keharmonian negara, terutama ketika musim pilihan raya.

Beliau juga melihat potensi istilah ‘demokrasi’ disalahgunakan jika tidak ada kawalan dan sempadan yang jelas diwujudkan dalam konteks 3R.

"Kalau dalam demokrasi tiada kawalan dan sempadan serta tiada ruang lingkup yang jelas, istilah 'demokrasi' itu boleh disalahgunakan oleh mereka-mereka yang tidak berpuas hati dengan kekalahan dalam sesuatu pilihan raya ataupun pertandingan.

"Contohnya, mereka boleh menggunakan platform media sosial untuk menjadikan 3R sebagai modal apabila tidak berpuas hati dengan keputusan majoriti yang tidak berpihak kepada mereka,” katanya.

Tidak perlu

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza, dan berkata akta sedia ada seperti Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah mencukupi bagi mengekang provokasi 3R.

Beliau juga bimbang berlaku pertindihan bidang kuasa jika undang-undang baharu itu diwujudkan.

"Apabila ini berlaku, yang terbeban pada akhirnya adalah media. Semakin lama, semakin susah untuk kita (media) beroperasi,” katanya, menambah sebelum 2018, organisasi media di negara ini tidak menikmati kebebasan penuh.

Bagaimanapun kata beliau, selepas 2018, institusi media di negara ini memperoleh sedikit"kesegaran” yang diberikan oleh kerajaan persekutuan pada waktu itu.

Sehubungan itu, kata Johan, kerajaan semasa tidak harus menoleh ke belakang dan perlu menerima hakikat bahawa media memainkan peranan sebagai mulut, mata dan telinga dalam menyampaikan keluh-kesah masyarakat kepada pihak berwajib, tanpa berselindung.

"Mana-mana kerajaan perlu terima hakikat bahawa media harus menyuarakan pandangan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas tentang keperluan menubuhkan unit khas 3R, penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, langkah tersebut wajar dengan bersandar pada prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Namun pada masa sama, beliau berkata, pemimpin politik juga harus menunjukkan teladan yang baik dengan tidak menyentuh sensitiviti 3R, selain berpegang teguh pada sumpah dan ikrar yang dilafaz semasa mengangkat sumpah jawatan sebagai wakil rakyat.

"Jadi, apabila wujud pihak yang menyentuh perkara 3R dalam masyarakat, maka kita (pemimpin) tidak boleh bertoleransi,” katanya. - Bernama