MARANG - Sokongan anak muda yang mahukan perubahan kepada Perikatan Nasional (PN) mampu merobohkan kerusi tradisi UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, beliau yakin dapat memberi tentangan sengit kepada penyandang DUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said menerusi jentera pilihan raya yang ada di DUN berkenaan.
Jelas beliau, ia bakal menggugat kedudukan Ahmad yang menyandang kerusi itu sejak 1990 sekali gus memastikan kemenangan PN semasa pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
"Sudah tentu bekas Menteri Besar Terengganu (Ahmad) itu merupakan calon 'hardcore' yang lama kerana dia sudah lima penggal (menjadi ADUN Kijal).
"Namun, sejak akhir-akhir ini kita lihat pengundi muda selain pengundi saluran lima dan enam telah mula beralih kepada generasi baharu.
"Ini bermaksud, mereka mahukan muka-muka baharu dan mahukan satu perubahan. Saya yakin perubahan itu berlaku di Kijal," katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan calon PN di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini, pada malam Khamis.
Mengulas lanjut, Razali berkata, lima kerusi yang ditandingi calon Bersatu diharapkan dapat memberi sumbangan dan bonus kepada Pas di Terengganu dari segi pertambahan jumlah kerusi.
"Pilihan raya ini bukan untuk bergaduh, ia bagi tarik sokongan dan kita buatlah sebaik mungkin.
"Kita beri khidmat sebaik mungkin dan beri polisi dan agenda-agenda baharu. Insya-ALLAH kita diterima masyarakat," ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.
Beliau menerima 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang menerima 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.
Bagaimanapun, pada PRU15 Parlimen Kemaman lalu, UMNO yang menpertaruhkan Ahmad di kerusi berkenaan tidak bernasib baik.
Pilihan raya itu menyaksikan Pengerusi UMNO Terengganu itu tewas dalam pertembungan empat penjuru setelah calon Pas, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi.
Che Alias yang juga merupakan penyandang kerusi parlimen itu memperoleh 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Senarai calon PN bagi PRN di Terengganu
Khazan menentang Ahmad Razif di DUN Seberang Takir
PRN: Razali lawan Ahmad Said di Kijal
PRK: Ahmad Amzad kekal calon PN Parlimen Kuala Terengganu