Cabaran itu bukan hanya kepada warga emas itu sendiri malah tempias turut terkena kepada individu yang berada di sekelilingnya.
Berdasarkan statistik, 23 peratus atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di Malaysia mengalami Sindrom Sarang Kosong iaitu rasa kesunyian dan sedih akibat tinggal bersendirian kerana berjauhan dengan anak-anak (www.myhealth.gov.my, 2017).
Keadaan itu menyebabkan golongan tersebut mudah terkena pelbagai penyakit termasuk kemurungan.
Jika keadaan menjadi lebih serius, kemurungan juga boleh mendorong seseorang bertindak di luar kewarasan diri sehingga ke tahap hendak membunuh diri.
Namun, apa yang dibimbangi, Malaysia bakal mencapai status negara warga emas (negara menua) yang dijangka berlaku pada 2030.
Sejauhmana mana persediaan masyarakat Malaysia dalam berdepan trend itu? Bagaimana kita boleh memainkan peranan membantu golongan berkenaan?
Ikuti kupasan lanjut mengenai isu yang menjadi dilema dalam kalangan warga emas.
Beliau mempunyai tiga orang anak dengan kesemuanya sudah berkeluarga. Dua anaknya tinggal berjauhan, cuma seorang sahaja anak yang tinggal berhampiran. Namun, itu pun jarang menjenguknya.
"Memang anak-anak ada ajak tinggal bersama mereka tetapi saya sayangkan kenangan di rumah ini dan tidak ingin menyusahkan anak dan menantu.
"Saya lebih selesa tinggal di rumah sendiri. Memang rasa sunyi dan kesedihan saya semakin menjadi-jadi sejak setahun lalu," katanya kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.
Bagaimanapun, Maryam berkata, selepas berjumpa pihak hospital, pakar mengesyakinya mengalami perasaan kesunyian melampau dan juga kemurungan.
"Ketika menghadiri rawatan susulan, saya berterus-terang dengan pakar tentang perasaan yang membelenggu saya. Sejak itu, pihak klinik dan hospital mengatur beberapa kaunseling terapi dan juga menjemput anak saya untuk kaunseling bersama keluarga," katanya.
Merujuk kepada laporan Banci 2000, kira-kira tujuh peratus daripada 1.4 juta warga tua di negara ini yang berumur 60 tahun ke atas tinggal bersendirian. Mereka berkemungkinan menghadapi pelbagai masalah kesihatan, sosial dan psikologikal.
Menurut laman web www.myhealth.gov.my, kira-kira 23 peratus atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di Malaysia (2017) mengalami masalah kesunyian.
Sementara itu, 72 peratus warga tua di bandar (seperti di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor) akan tinggal bersama anak-anak menjelang tahun 2020. Namun, kebanyakan anak mereka keluar bekerja (Kertas Kerja Seminar Antarabangsa bersama UKM-UNHAS Ke-V 2011).
Situasi itu dikatakan berupaya menyebabkan ibu bapa berhadapan dengan situasi kesepian dan kesedihan di samping hal-hal berkaitan dengan keselamatan diri. Ia sebenarnya sama seperti kes dialami oleh Maryam.
Keadaan akan menjadi bertambah buruk apabila golongan warga emas rata-ratanya sudah uzur, kurang upaya dan mempunyai penyakit kronik yang memerlukan penjagaan rapi.
Melihat kepada statistik Jabatan Perangkaan baru-baru ini yang menyaksikan peningkatan jangka hayat iaitu 61.6 tahun bagi lelaki dan 65.6 tahun bagi wanita pada tahun 1970-an kepada 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 tahun bagi wanita pada tahun 2016 menunjukkan jangka hayat warga emas semakin panjang.
Persoalannya, adakah akan lebih ramai orang tua di Malaysia menghadapi masalah kesepian?
Sindrom Sarang Kosong
Penulis juga risau apabila meneliti hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia kali ke-5 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (2014).
Laporan itu antara lain menyebut, seramai 34.2 peratus atau satu per tiga warga emas di Malaysia pernah menghidapi sindrom kesunyian.
Kesepian dalam kalangan warga emas di negara ini dikatakan semakin bertambah akibat perubahan struktur keluarga, psikososial dan gaya hidup semasa.
Bagi mengulas fenomena tersebut, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan Keluarga & Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Aznan Md Aris.
Warga emas dalam kategori tersebut dikenali sebagai Empty Nest Syndrome (Sindrom Sarang Kosong) iaitu merujuk kepada perasaan keseorangan dan kesedihan, kata Dr Mohd Aznan.
"Sindrom ini biasanya boleh berlaku apabila anak-anak pesakit mula meninggalkan rumah ibu bapa mereka untuk bekerja, belajar atau berkahwin. Selain itu, ia terjadi apabila warga emas ini kehilangan pasangan hidup akibat kematian atau penceraian.
"Ia juga boleh berlaku apabila seseorang itu memasuki era persaraan atau tidak bekerja. Pendek kata apabila tinggal bersendirian, mereka merasakan kesepian, kesedihan secara berlebihan, kemurungan, rasa diri tidak berguna dan rasa dipinggirkan," katanya yang turut mengendalikan kes warga emas, Maryam.
Seperti dijangka, kaum wanita mendominasi sindrom ini (41.5 peratus) berbanding lelaki (25.5 peratus).
Beritahu Dr Mohd Aznan, golongan bujang, tidak berkahwin atau bercerai, berpendidikan rendah, berpendapatan rendah dan mempunyai hubungan yang tidak baik dengan anak atau mempunyai penyakit kronik juga berpotensi mendapat gejala serupa.
Bahaya
Mampukah sindrom kesepian mampu ditangani?
"Apa yang saya boleh katakan, mereka akan berisiko tinggi menghidapi penyakit kemurungan. Kesan buruk kemurungan pula akan meningkatkan mobiditi dan mortaliti dalam kalangan warga emas," katanya.
Pakar Perubatan Warga Emas, Hospital Universiti Galway, Ireland, Dr Mohd Zaquan Arif Abd Ghafar turut melahirkan rasa bimbang tentang fenomena tersebut.
Jelasnya, jika ia berlaku dengan kerap dan berlanjutan, kesepian boleh jatuh dalam kategori 'penyakit sosial'.
Dalam topik yang dibincangkan kali ini, beliau senada dengan fakta-fakta yang disuarakan Dr Mohd Aznan terutama menyentuh aspek kemurungan.
Malah kata Dr Mohd Zaquan, jika keadaan lebih serius, kemurungan boleh sampai ke tahap hendak membunuh diri!
"Bukan itu sahaja, penyakit lain yang berkait dengan masalah kesepian ini termasuk lemah daya tahan jangkitan kuman, tekanan darah tinggi serta pengurangan keupayaan kognitif," katanya.
Dalam pada itu, pakar itu berkata, mereka yang hidup terasing daripada masyarakat tidak semestinya dalam kesepian.
Dalam satu situasi berbeza, katanya, terdapat individu hidupnya ditemani keluarga dan masyarakat tetapi masih merasai kesepian.
"Kesepian merupakan perasaan dan keadaan yang wujud bila seseorang berhasrat untuk membina sesuatu hubungan tetapi tidak dapat mencapainya.
"Kebanyakan mereka hidup bersendirian atau ditinggalkan keseorangan untuk tempoh yang lama sepanjang hari dan tidak mampu atau tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan sesiapa," katanya.
Dalam hal ini, Dr Mohd Zaquan berkata, tiada jalan lain yang boleh dilakukan menangani isu melainkan dengan mengukuhkan institusi kekeluargaan.
"Saya percaya hal ini boleh diselesaikan sebaik mungkin. Masyarakat sememangnya memiliki adat ketimuran yang sangat menekankan pentingnya anak-anak menjaga ibu bapa mereka yang telah tua.
"Namun begitu, kerajaan juga bertanggungjawab untuk terus memberi pelbagai inisiatif dan bantuan supaya sistem kekeluargaan ini berjaya.
"Kerajaan juga boleh mengadakan kempen untuk menggalakkan pelajar sekolah dan universiti menganjurkan program bersama warga emas untuk memupuk rasa hormat kepada warga emas sekali gus dapat membantu membasmi masalah kesepian," katanya.
Apa khabar Maryam sekarang? Kepada Sihat:Aktif, Dr Mohd Aznan berkata, warga emas itu telah menjalani beberapa siri terapi dan mengambil preskripsi ubat-ubatan yang dicadangkan.
"Alhamdulillah, kini warga emas itu lebih ceria dan positif dalam kehidupannya," ujar beliau.
Kaunseling awal, berteman dengan kucing terapi paling baik
Ujar beliau, cara itu boleh dilakukan jika kes dirujuk awal kepada kaunselor.
"Sesi kaunseling yang berlaku secara bersemuka sudah semestinya memberikan kelegaan kerana apa sahaja yang ingin diceritakan pesakit didengari kaunselor.
"Selain itu, pendekatan terapi rational emotif behavior mampu mengembalikan semula pemikiran pesakit yang negatif kepada positif. Pelbagai teknik lain juga akan diterapkan seperti teknik main peranan, terapi seni dan terapi permainan mampu memberikan ruang kepada pesakit untuk lebih memahami diri mereka," katanya ketika dihubungi Sihat:Aktif baru-baru ini.
Mohd Noor menambah, warga emas berusia lebih 70 tahun lebih mudah untuk berasa kesepian dan jika perasaan itu tidak ditangani dari peringkat awal, ia mampu mengarah kepada gangguan depresi.
"Ia boleh membuka kepada permasalahan lain seperti mengelak untuk makan minum, membersih dan mengurus diri yang akhirnya bukan sekadar memberi kesakitan kepada jiwa bahkan kepada fizikal seseorang.
"Kemurungan yang berpanjangan menjadi penyebab kepada risiko mengalami penyakit jiwa yang berkekalan atau ‘gila’ yang memerlukan rawatan khusus," katanya.
Dalam pada itu, menurut laman web www.myhealth.gov.my, terapi bersama kucing juga berkesan dalam menangani sindrom kesepian.
"Ini kerana hubungan persahabatan antara manusia dan kucing dapat membantu mereka yang kesepian. Hanya dengan memiliki kucing di rumah dan menghabiskan masa bersama dapat membantu mengurangkan rasa sunyi," kata laman web berkenaan.
ANEKDOT
Strategi rawat dan kawal kesepian:
1. Sokongan sosial
i. Keluarga terutama anak-anak Kerap melawat ibu dan ayah. Kerap bertanya khabar contoh telefon. Kerap membawa ibu bapa bersama dalam aktiviti sosial.
ii. Jiran-jiran
iii. Kawan-kawan
2. Aktif dalam aktiviti keagamaan dan komuniti.
3. Amalkan cara hidup sihat seperti bersenam, penjagaan makanan dan relaxation techniques.
Cara mengatasi:
Belajar menerima perubahan:
Tumpukan kepada membantu anak anda untuk berjaya dan hidup secara berasingan.
Pada masa sama, hargai kebebasan dan pelepasan daripada tanggungjawab.
Mengakui perasaan anda meskipun anda berfikir bahawa tiada siapa memahami.
Berikan masa untuk menyesuaikan diri dengan perasaan.
Berkongsi perasaan anda dengan pasangan anda.
Luangkan masa bersama pasangan
Sumber: Mayo Clinic, April 2018