Hubungan Kerajaan Pulau Pinang, Ramasamy masih baik - Kon Yeow

Iklan
Chow Kon Yeow, Ramasamy

GEORGETOWN - Hubungan antara Kerajaan Caretaker Pulau Pinang dengan Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy tidak pernah bermasalah malah masih berjalan seperti biasa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain Ramasamy, hubungannya dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees juga dalam keadaan baik, malah kedua-duanya masih ahli DAP.

Iklan
Iklan

"Ramasamy dan Satees masih berhubung dengan saya. Hubungan mereka dengan saya, tiada masalah, malah ada yang jadi calon Bebas pun masih sokong saya lagi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mock Cheque Peruntukan Program Pemeliharaan Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO kepada Pulau Pinang dan Melaka di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang menafikan bahawa beliau telah meletakkan semua jawatan dan keluar daripada parti itu selepas tidak berpuas hati apabila digugurkan dalam senarai calon untuk pilihan raya negeri (PRN) ini.

Iklan

Diminta mengulas mengenai tindakan Ramasamy dan Satees yang 'menyerang' DAP susulan tidak berpuas hati terhadap keputusan senarai calon bagi DAP untuk pilihan raya negeri (PRN), Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, senarai calon tersebut telah dimuktamadkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

"Isu dibuang atau tidak (dibuang) tidak timbul dalam isu ini. Hanya proses tatatertib jika ada, saya tak kata ada. Tetapi bagi seseorang yang bertanding sebagai calon Bebas atau calon parti lain, ia dianggap ditamatkan keahliannya.

Iklan

"Tanggungjawab jawatankuasa kecil pemilihan calon di peringkat negeri telah menjalankan temuramah calon-calon yang diberikan oleh cawangan dan sebagainya. Setelah dipilih, senarai nama itu telah diserahkan kepada Pusat untuk dipertimbangkan sekali gus memuktamadkan senarai calon.

"Memang ada nama-nama yang negeri cadang tidak dipilih, ada dalam beberapa nama. Ada juga yang dipilih, tidak dicadangkan oleh negeri. Sebab itu timbul ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli parti," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menafikan bahawa wujud individu seperti 'maharaja' dalam DAP yang menentukan senarai calon untuk bertanding dalam PRN nanti.

"Saya mengulangi kenyataan saya bahawa senarai dibuat oleh jawatankuasa kecil pemilihan calon di peringkat negeri seterusnya senarai itu diserahkan kepada Pusat untuk dimuktamadkan, yang mana, saya bukan sebahagian daripada jawatankuasa tersebut.

"Tiada istilah siapa yang menggunakan kuasanya untuk membuat keputusan sendiri termasuk membelakangkan senarai yang dikeluarkan oleh setiausaha agung dan dipersetujui oleh DAP negeri," katanya.

Kata Kon Yeow lagi, sekiranya dipilih semula oleh rakyat untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau perlu membentuk satu barisan Exco yang baru berikutan lima Exco Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini telah digugurkan.

"Saya perlu bentuk satu barisan Exco yang baru berikutan ramai Exco lama tidak menjadi calon, maka kesinambungan dalam menjalankan kerja terputus.

"Penggal lalu, kita memang usahakan pelaksanaan Visi Penang2030 yang mana, mengikut portfolio masing-masing, memang ada banyak sasaran, projek dan program untuk dilaksanakan. Maka perlu ada satu barisan Exco yang baru untuk teruskan kerja-kerja yang ditetapkan di bawah Visi Penang2030," katanya.