SHAH ALAM - Kerajaan tidak mengabaikan golongan berpendapatan sederhana (M40) kerana banyak inisiatif di bawah Belanjawan 2023 disalurkan kepada mereka bagi meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan nilai ringgit ketika ini.
Secara umumnya, golongan M40 terdiri dalam kalangan isi rumah berpendapatan antara RM4,851 sehingga RM10,970 sebulan.
Antara inisiatif yang diadakan menerusi Belanjawan 2023,adalah pertambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 kerana kerajaan mengurangkan kadar cukai pendapatan individu.
Kerajaan telah mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak dua mata peratusan bermula tahun ini membabitkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000.
Bagi inisiatif pengurangan kadar cukai pendapatan individu, ia dinakmati secara terus setiap bulan oleh kira-kira 2.4 juta pembayar cukai kerana pendapatan bercukai yang dipotong mengikut kadar baharu.
Golongan M40 juga terus menikmati tarif elektrik yang dikekalkan atau disubsidi berbeza dengan rumah yang menggunakan elektrik tinggi kerana kadarnya mengikut harga pasaran.
Selain itu, keputusan kerajaan naikkan had pendapatan bulanan isi rumah penjawat awam daripada RM5,000 kepada RM7,000 untuk yang layak menerima subsidi yuran taska, sebanyak RM180 sebulan, membolehkan lebih ramai ibu bapa kategori M40 menerima manfaat.
Kerajaan turut menghulurkan bantuan bagi mengelakkan kaum wanita termasuk golongan M40 berhenti kerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak kerana kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi.
Bantuan itu dari segi pindaan Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja.
Tidak terkecuali, golongan M40 juga memperoleh satu lagi penjimatan kerana kerajaan menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan daripada RM8,000 kepada RM10,000 bagi tahun taksiran 2023.
Skop pelepasan itu juga diperluaskan meliputi kos rawatan pemulihan bagi anak kurang upaya pembelajaran seperti autisme, sindrom Down dan masalah pembelajaran tertentu (‘specific learning disabilities) dengan had maksima sebanyak RM4,000’.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan pas bulanan My50 untuk 30 hari perjalanan tanpa had di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk memberi manfaat kepada hampir 180,000 pengguna. Pas ini boleh dibeli di Pejabat Khidmat Pelanggan Rapid KL di semua stesen LRT, MRT dan monorel.
Inisiatif berbaloi
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan, semua inisiatif yang diberikan kerajaan itu membantu meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan isi rumah M40.
"Contohnya pengurangan cukai yang membolehkan golongan ini mempunyai lebihan pendapatan.
"Keputusan kerajaan mengekalkan tarif elektrik bagi pengguna domestik pula dapat memastikan golongan M40 tidak terbeban dengan bil elektrik tinggi sehingga akhir tahun ini," katanya.
Ahmed Razman menjelaskan bahawa, apa sahaja inisiatif yang meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan akan mampu membantu setiap isi rumah menikmati kualiti hidup lebih baik.
Katanya, kualiti hidup akan memberi impak positif bukan sahaja kepada ekonomi isi rumah M40 tetapi juga dari segi kesihatan mental sekali gus menjadikan mereka lebih positif dan produktif.
Justeru itu, beliau menyeru golongan M40 bahawa mereka perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk terus melonjakkan lagi pendapatan mereka seiring dengan usaha yang dilakukan kerajaan.
"Segala peluang dan kemudahan yang disediakan kerajaan harus digunakan sebaiknya kerana kita tidak mahu golongan M40 ini terjerat dalam perangkap gaji pertengahan," ujarnya.
Layari belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk mendapatkan inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.
#Belanjawan2023
#BelanjawanMADANI
REAKSI
"Semua inisiatif ini beri nilai tambah kepada pendapatan boleh guna saya dan hasil penjimatan ini saya guna untuk tampung belanja keperluan harian seperti barang dapur dan bayar yuran tuisyen anak." - Guru, Che Kamarudin Ya.
"Pengurangan cukai, subsidi elektrik dan subsidi yuran taska banyak membantu saya berjimat. Jadi saya boleh guna untuk carum insurans, beli peralatan sekolah dan bahan bantu mengajar yang lain." - Guru, Idayu Suraya Salleh.
"Lega sebab pengurangan cukai pendapatan memberikan saya lebih wang untuk menabung. Ia ibarat saya sediakan payung sebelum hujan memandangkan keadaan ekonomi yang masih tidak stabil." - Wartawan, Lew I-Ling.
"Syukurlah sebab M40 tidak dipinggirkan. Banyak juga kami dapat manfaat daripada Belanjawan 2023 termasuk pas bulanan My50 yang beri lebih nilai kepada wang kami." - Penyelia Tapak Projek, Asri Jaafar.
"Wang lebihan daripada pengurangan cukai pendapatan setiap bulan saya guna untuk bayar bil air, elektrik dan telefon. Semua bil itu kalau dikumpulkan setiap bulan ratusan ringgit juga jumlahnya." - Pensyarah, Muzir Salim.