Perak kenal pasti tapak lapangan terbang antarabangsa di Bota

Iklan
Mohammad Nizar (duduk, empat dari kiri) bersama pihak Colebrand International Limited selepas mendengar taklimat berhubung cadangan awal pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Bota.

PARIT - Kerajaan Perak mencadangkan tapak seluas 1,618.7 hektar berhampiran kawasan Felcra Nasaruddin dekat Bota di sini untuk dibangunkan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembinaan lapangan terbang itu memerlukan kajian menyeluruh yang dijalankan oleh syarikat kejuruteraan infrastruktur, Colebrand International Limited yang berpangkalan di United Kingdom.

Iklan
Iklan

"Syarikat ini telah memberi penerangan dan taklimat berhubung cadangan projek ini. Mereka dibawa melawat tapak berkenaan untuk melihat kesesuaiannya sebelum memberi maklum balas kepada kerajaan negeri.

"Perbincangan kami sebentar tadi melibatkan kajian fizikal, tempoh masa yang diperlukan serta kemudahan yang akan dicadangkan dan kita akan kaji ia satu demi satu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Colebrand International Limited, Jim Scott dan Pengurus Besarnya, Dr Farid Idrus.

Ditanya mengenai status tanah, Mohammad Nizar menjelaskan bahawa tapak tersebut merupakan sebahagian milik Felcra Nasaruddin, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri dan kerajaan negeri yang terletak kira-kira 40 kilometer dari lokasi asal cadangan pembinaan tapak lapangan terbang sebelum ini.

Iklan

"Sebelum ini ia melibatkan banyak tapak milik kampung dan tanah perkuburan yang menjadi masalah bagi penduduk setempat.

"Jadi tapak baharu ini tidak melibatkan peneroka haram, tidak melibatkan banyak masalah yang menghantui kerajaan negeri supaya mereka boleh terus membuat kajian lapangan dan rancangan seterusnya," katanya.

Tambah beliau, cadangan membangunkan lapangan terbang itu bukan bertujuan untuk bersaing dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebaliknya mengisi keperluan permintaan terutama kargo.

"Secara prinsipnya telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan.

"Kerajaan negeri memberi mereka peluang untuk beri cadangan dalam melaksanakan beberapa kajian," katanya.

Sementara itu, Farid berkata, kajian melibatkan topografi, hidrologi, geografi dan ekonomi di wilayah ini mengambil masa sehingga enam bulan untuk melihat kesesuaian bagi pembinaan lapangan terbang itu.

Katanya, hasil kajian untuk fasa pertama itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan seterusnya.

"Jika kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan kami, maka fasa kedua yang akan dilaksanakan adalah membabitkan pembangunan projek.

"Berdasarkan jangkaan dan pengalaman kita, pembinaan itu dijangka mengambil masa 60 bulan atau lima tahun. Perak akan menerima lapangan terbang baharu," katanya.