CARACAS - VENEZUELA. Venezuela akan mendakwa tujuh ahli Parlimen yang menyokong pemberontakan tentera terhadap Presiden Nicolas Madura minggu lalu, umum Mahkamah Agung semalam.
Kesemua mereka dilapor mengetuai pemberontakan yang sertai kira-kira 30 anggota tentera.
Namun, cubaan rampas kuasa itu gagal mencapai matlamatnya.
Mahkamah dalam penghakiman itu berkata, ia sudah meminta Peguam Negara Tarek William Saab untuk memulakan siasatan jenayah ke atas pembangkang kerana pengkhianatan negara dan konspirasi.
Tidak lama selepas itu, Dewan Perhimpunan membatalkan kekebalan Parlimen ketujuh-tujuh wakil rakyat itu.
"Apa selepas ini? Perbicaraan,” kata Speaker Dewan Diosdado Cabello, orang kedua berpengaruh selepas Presiden Nicolas Maduro.
Cabello juga menyebut bahawa tiga lagi ahli Parlimen sudah dikenal pasti dan akan melalui proses sama.
Senarai itu menyenaraikan Henry Ramos Allup, bekas speaker Dewan Negara dikawal pembangkang - tetapi tidak Juan Guaido, presiden sementara Venezuela yang diiktiraf lebih 50 buah negara.
Di Washington, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence berkata, mereka sedang meningkatkan tekanan kepada Maduro dengan membatalkan sekatan kepada ketua perisikan yang dipecatnya, Jeneral Christopher Figuera.
Pence bercakap di Jabatan Negara, berkata beliau berharap tindakan Figuera akan mendorong lebih ramai pemimpin kanan Venezuela untuk membatalkan sokongan kepada Maduro.
"Washington akan mempertimbangkan pembatalan sekatan ke atas semua yang tampil menyokong perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” kata Pence.
Pence juga memberi gambaran AS akan mengenakan sekatan ke atas hakim Venezuela sekiranya mereka menggunakan mahkamah sebagai alat politik untuk rejim yang menindas demokrasi, menyabitkan tahanan politik dan mempromosi pentadbiran autokratik.
"Jika Mahkamah Agung Venezuela tidak kembali kepada mandat perlembagaan untuk menjunjung kedaulatan undang-undang, AS akan mempertanggungjawabkan semua 25 hakim atas tindakan mereka,” kata Pence.
Wakil rakyat lain dalam senarai pendakwaan ialah Edgar Zambrano, Luis Florido, Marianela Magallanes, Simon Calzadilla, Americo De Grazia dan Richard Blanco.
Dewan Perhimpunan juga berkata ia akan menggantung kekebalan mana-mana wakil rakyat yang menyokong rampasan kuasa 30 April, yang mencetuskan keganasan dua hari antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan menyebabkan lima orang terbunuh.
Puluhan lagi cedera dan 233 ditahan.
Saab, peguam negara dalam kenyataan sebelum ini berkata pihak berkuasa sudah mengeluarkan 18 waran tangkap kepada"perancang orang awam dan tentera” selepas kebangkitan 30 April.
Kumpulan Contact Group on Venezuela yang bermesyuarat di San Jose, Costa Rica semalam mengumumkan ia akan menghantar pasukan pegawai tinggi ke negara bergolak itu untuk memantau bantuan dan pengedaran bantuan kemanusiaan dan mengadakan dialog antara pihak bertelagah. – AFP