PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek tidak lagi bersama badan induk itu.
Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan tersebut selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama biarpun kontrak legenda nombor satu negara berkenaan masih berbaki lima bulan.
"Sejujurnya, ini bukan soal berpuas hati atau tidak, sebaliknya banyak perbincangan dengan semua pemegang taruh dan ada perkara perlu diubah untuk kebajikan dalam perbincangan sebelum ini.
"Malah, Datuk Misbun memahaminya dan telah melakukan yang terbaik sepanjang khidmatnya. Bagaimanapun, tidak ada keputusan dan kita perlu melihat dari sudut lain,” katanya semasa sidang media khas di ABM, Bukit Kiara pada Jumaat.
Terdahulu, BAM menerusi Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Subra mengadakan mesyuarat khas bersama kesemua jurulatih dan pemain skuad remaja negara pada Rabu.
Skuad muda negara mengakhiri kempen Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jogjakarta, Indonesia awal bulan ini dengan suasana suram.
Barisan muda negara tersingkir pada suku akhir acara berpasukan campuran, manakala acara individu memperlihatkan tiada wakil negara melayakkan diri ke separuh akhir.
Edisi 2023 itu merupakan kegagalan kedua skuad remaja negara selepas kurang menyengat ketika mengharungi kempen Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022 di Santander, Sepanyol tahun lalu.