PUTRAJAYA - Ikan kembung, selayang, siakap dan cencaru merupakan empat jenis ikan yang paling popular dibeli rakyat Malaysia.
Berdasarkan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022, jenis ikan tersebut mendapat peratusan tertinggi perbelanjaan isi rumah berbanding 115 item ikan segar yang lain.
Laporan itu menunjukkan 53.4 peratus isi rumah memilih ikan kembung disusuli selayang (27.6 peratus), siakap (25.4 peratus) dan cencaru (27.4 peratus).
Bagi sayuran pula, sawi menduduki tempat teratas pilihan 57.6 peratus isi rumah, diikuti lobak merah (54.4 peratus), ubi kentang (51.2 peratus) dan 53.4 peratus turut memilih tomato.
Dapatan itu turut menunjukkan makanan berasaskan mi atau pasta menjadi pilihan 91.2 peratus isi rumah ketika makan di luar.
Minuman teh juga menjadi pilihan isi rumah ketika makan di luar dengan peratusan 85.5 disamping nasi lemak 83.1 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dapatan itu boleh menjadi rujukan kepada agensi kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan dengan barangan tersebut.
"Selepas ini, jika agensi kerajaan nak tanam apa-apa, kena tengok dapatan ini," katanya menerusi sidang akhbar pelancaran Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia, 2022 di sini pada Jumaat.
Menurutnya, secara purata isi rumah berbelanja RM5,150 sebulan pada 2022 iaitu meningkat 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2019 hingga 2022.
"Di samping pendapatan yang diterima oleh isi rumah, sebahagian perbelanjaan ini dibiayai oleh penerimaan bukan pendapatan seperti bantuan kerajaan dan pengeluaran khas wang simpanan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.