JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri menggesa pihak polis agar menyegerakan siasatan ke atas kematian bayi lelaki mereka yang berusia enam bulan ketika berada di bawah jagaan pengasuh.
Menurut ibu bayi berkenaan, Patricia Lau Hui Ling, 32, kejadian berlaku pada 15 Julai lalu dan laporan polis juga sudah dibuat, namun sehingga ke hari ini tidak ada perkembangan terkini yang diterimanya.
"Pada 15 Julai lalu, saya dihubungi oleh pengasuh mengatakan anak saya sesak nafas dan bila saya pergi ke sana (rumah pengasuh), didapati anak saya tidak tidak sedarkan diri, kaki dan tangannya sudah jadi biru (kebiru-biruanan).
"Pengasuh beritahu, mereka cuba bagi bantuan pernafasan tapi tak berjaya dan telefon ambulan, tetapi ambulan tidak sampai.
"Selepas itu saya terpaksa bawa anak ke hospital pakar di Seri Alam, tetapi doktor beritahu anak saya tak dapat diselamatkan dan telah meninggal dunia," katanya dalam sidang media di Permas Jaya, pada Jumaat.
Difahamkan, bayi lelaki yang meninggal dunia tersebut merupakan anak bongsu daripada empat beradik di mana dua daripada mereka yang berusia lima dan tiga tahun turut dihantar ke rumah pengasuh berkenaan, ketika Patricia dan suaminya, Chew Chin Song 33 bekerja.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Cinta Malaysia, Syed Othman Abdullah.
Tambah Syed Othman, pihak suami isteri berkenaan sedang mempertimbangkan tindakan terhadap pihak pengasuh yang didakwa seperti 'lepas tangan' dalam perkara berkenaan.
"Bagaimanapun apa juga tindakan akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak peguam memandangkan perkara ini masih dalam siasatan polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, siasatan juga dibuka di bawah kematian mengejut (SDR).
"Kita masih menunggu laporan post mortem (bedah siasat) dan sehingga hari ini, kes ini tidak ditutup," katanya.