Rayuan petisyen pilihan raya Parlimen Segamat didengar 1 Ogos

Iklan
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menangguhkan ke 1 Ogos untuk mendengar rayuan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M Ramasamy untuk mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Segamat setelah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak sihat.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam Sarah Maalini Abishegam yang memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Shafee mengalami vertigo serta migrain yang teruk dan kini bercuti sakit.

Iklan
Iklan

Zabariah, yang bersidang bersama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan, berkata, rayuan itu akan didengar pada 1 Ogos secara fizikal.

Terdahulu dalam prosiding pada Jumaat yang dijalankan secara dalam talian, Sarah memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Shafee, yang merupakan peguam utama bagi kes itu, telah dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan bagi mengelakkannya daripada terjatuh.

Iklan

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala peguam Lau Yi Leong, yang mewakili Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, tidak membantah penangguhan itu.

Pada PRU15 yang diadakan pada November tahun lepas, calon Pakatan Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi dan diisytiharkan sebagai Ahli Parlimen yang dipilih bagi kawasan itu mengalahkan Ramasamy, P Poobalan daripada Perikatan Nasional dan Syed Hairoul Faizey daripada Pejuang.

Iklan

Ramasamy, yang merupakan bendahari MIC, bertanding sebagai calon BN.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen pilihan raya memohon antara lain, pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kerusi Parlimen Segamat terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Beliau menamakan Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden.

Pada 3 April lepas, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan raya Ramasamy selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan responden.

Bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden termasuk bahawa Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 berkaitan afidavitnya dan kegagalannya mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berkenaan fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan yang dimohon.- Bernama