SHAH ALAM - Cadangan Kementerian Perpaduan Negara agar semua program rasmi kerajaan yang dianjurkan kementerian dimulakan dengan lafaz ikrar Rukun Negara dilihat sebagai permulaan yang tepat menuju ke arah negara maju.
Ahli Panel Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lima matlamat Rukun Negara sendiri pada dasarnya adalah bagi mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil, membentuk sikap liberal terhadap kebudayaan dan membina sebuah masyarakat progresif.
Justeru, syor itu wajar dilaksanakan pada majlis rasmi anjuran semua kementerian bagi memastikan ia dapat diterima dan dipraktikkan di pelbagai tempat.
"Lafaz ikrar ini juga perlu dilaksanakan semasa perhimpunan di semua sekolah. Ini sememangnya sentiasa diaplikasikan dan perlu diteruskan bagi memastikan generasi muda kita tidak melupakan falsafah negara ini.
"Lebih baik sekiranya ia berjaya diamalkan dan dilaksanakan oleh pelajar kerana sekadar menghafal dan membacanya tidak memberi makna yang cukup buat falsafah kebangsaan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas Lam Thye, selagi mana bergelar rakyat Malaysia, Rukun Negara harus sentiasa dijadikan fokus dan mendapat perhatian berat kerana ia merupakan asas pembinaan negara.
Beliau berkata, objektif atau matlamat yang didukung adalah tulang belakang yang penting dalam membina negara dan bangsa.
"Sekiranya lima matlamat ini berjaya dipraktikkan kita sememangnya dalam landasan yang tepat menuju ke negara maju,” katanya.