MUAR - Pertembungan tiga penjuru dijangka akan dihadapi Perikatan Nasional (PN) Johor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata, ia susulan status Johor yang tidak melaksanakan konsep kerajaan Perpaduan seperti di peringkat kerajaan Persekutuan.
Bekas Menteri Besar itu menjelaskan berdasarkan konsep berkenaan tidak mustahil Barisan Nasional (BN) berkemungkinan besar akan meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut.
"Sebagai penyandang kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Parti Amanah Negara (Amanah) sudah tentu mahu terus bertanding di situ.
"Status Johor yang tidak melaksanakan konsep Kerajaan Perpaduan dalam pentadbirannya memungkinkan ada pertembungan dua parti dalam Kerajaan Perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua kerusi berkenaan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong menegaskan PN Johor semestinya akan bertanding dan meletak calon di dua kerusi berkenaan.
Ujarnya, persiapan ke arah itu sedang giat dilaksanakan kepimpinan PN Johor termasuk mengenalpasti calon yang berpotensi menang.
Kekosongan luar jangka di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram itu, susulan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddian Ayub, yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pada Ahad lalu.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ( KPDN) menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Pengerusi PH Johor itu menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal pada 2018 dan 2022 selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.
Pada PRU15 lalu, Salahuddin menang majoriti 20,989 undi di Parlimen Pulai.
Salahuddin mengalahkan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Nur Jazlan Mohammed yang memperoleh 23,026 undi, manakala calon PN (PN), Loh Kah Yong pula meraih 14,432 undi.
Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi dan calon BN Lokman Md Don memperolehi 6,062.