PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan badan induk bola sepak negara itu lambat bertindak susulan insiden penyokong Kuala Lumpur (KL) City yang telah dipukul pada Final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lalu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, laporan polis telah pun dibuat oleh mangsa keesokan harinya dan FAM tidak boleh membuat sebarang tindakan yang boleh mengganggu siasatan polis.
Iklan
Iklan
"FAM bukan mengambil sikap untuk berdiam diri berhubung hal ini atau pun lambat untuk membuat sebarang tindakan.
"Bagaimanapun, FAM sentiasa bersedia dan terbuka untuk memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, FAM menegaskan menolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan dengan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak.
"Ia termasuk sama ada berlaku di dalam padang atau di luar padang yang membabitkan penyokong atau penonton.
"FAM tetap memandang serius dengan apa yang berlaku ini dan akan segera melakukan tindakan proaktif bersama MFL dalam memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan-perlawanan lain yang akan datang,"katanya.