MERSING – Seorang lelaki yang dilaporkan terjun ke sungai dari Jambatan Endau di sini petang Rabu lalu, ditemukan meninggal dunia berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, berdasarkan laporan, lelaki berusia 50 tahun itu berkenaan dikatakan terjun dari Jambatan Sungai Endau, sekitar jam 2 petang Rabu selepas makan di sebuah kedai makan berhampiran.
Menurutnya, lelaki terbabit dikatakan kelihatan dalam keadaan murung sebelum terjun dari jambatan berkenaan.
"Mayat lelaki terbabit ditemukan pada jam 12.35 tengah malam Jumaat oleh orang awam yang memancing berhampiran jeti LKIM, Endau.
"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Mersing untuk pengecaman dan bedah siasat,” katanya pada Jumaat.
Tambah Abdul Razak, hasil siasatan mendapati lelaki yang tinggal di Endau itu mungkin berdepan masalah peribadi hingga membuat keputusan untuk terjun dari jambatan berkenaan.
Sementara itu Komander Operasi dari dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Alias Hussin berkata, seramai lapan anggota dari BBP Endau dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari BBP Mersing dianggotai empat anggota Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) selain melibatkan satu jentera FRT, Hilux, lori, dua bot dan satu lori telah memulakan operasi SAR pada Rabu mulai jam 1.55 petang.
Katanya, SAR yang dihadiri Pegawai Zon 2, Penolong Penguasa Bomba Muahamd Fareez Abdul Rashid dan Penolong Penguasa Bomba Khairul Azrai Razali turut disertai 15 anggota dari pelbagai agensi melibatkan 12 anggota polis, APM (dua), Polis Marin (11) dan seorang dari Majlis Daerah Mersing.
"Pada hari kejadian sekitar jam 2 petang, pasukan PPDA dari BBP Mersing dan Polis Marin melakukan pencarian dalam radius satu kilometer (KM) dari tempat mangsa dipercayai terjun dengan menggunakan teknik ‘Surface and Searching’ menggunakan bot dengan dibantu anggota PPDA dari BBP Skudai dengan membuat tiga selaman namun mangsa tidak berjaya ditemui hingga SAR ditangguhkan pada 12 tengah malam.
"Operasi SAR diteruskan pada Khamis dengan teknik ‘Surface and Searching’ menggunakan bot dalam radius 3 KM. Operasi ditangguhkan pada 6.30 petang, namun pada jam 12.44 malam, mangsa telah ditemui oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan jeti LKIM Endau.
"Jarak mangsa ditemui adalah lebih kurang 100 meter dari tempat mangsa terjun. Pasukan keluaran operasi (PKO) kemudiannya bertindak menaikkan mangsa sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 1.35 pagi pada Jumaat,” katanya.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)