Sambal petai Syilis masuki pasaran global

Iklan
Shahrol Annaz menunjukkan produk Syilis yang kini sudah menembusi pasaran di peringkat antarabangsa.

Syarikatnya kini berjaya mengeluarkan lapan produk

Shahrol Annaz menunjukkan produk Syilis yang kini sudah menembusi pasaran di peringkat antarabangsa.

BATU GAJAH - Siapa sangka perusahaan sambal yang bermula secara kecil-kecilan di rumah pada tahun 2020 kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk di Jepun, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura.

Iklan
Iklan

Bercerita mengenai perjalanan perniagaannya, Ketua Pegawai Eksekutif Syilis Food Manufacturing Sdn Bhd, Shahrol Annaz Abdul Nasir berkata, hanya bermodalkan RM100 ketika itu bersama isteri, Siti Nur Suhada Salehuddin, 36, resepi sambal hijau ikan bilis berjaya dikomersialkan.

Menurutnya, selepas tiga produk utamanya iaitu sambal hijau ikan bilis, sambal petai dan sambal ikan bilis petai laris, dalam tahun yang sama juga mereka membuka bengkel khas bagi menghasilkan lebih banyak kuantiti produk bagi memenuhi permintaan.

Iklan

"Setahun selepas itu, kami pindah ke kilang baharu di Kawasan Perindustrian Ringan Siputeh dan mendapat pensijilan halal dan Mesti (Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) dengan bantuan daripada agensi kerajaan. Paling membantu kami sebenarnya adalah STeP (Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak).

"Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengilhamkan STeP ini kerana disebabkan bantuan agensi kerajaan negeri ini, saya dapat peluang untuk tembusi pasaran antarabangsa," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Syilis Food Manufacturing Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Ringan Siputeh, Pusing, di sini.

Iklan

Shahrol Annaz berkata, setiap kali berlangsungnya acara pameran keusahawanan di luar negara, pihak STeP akan membuka peluang kepada usahawan di Perak untuk turut serta dengan membawa produk masing-masing.

Menurutnya, peluang itu tidak akan ditolak dan dimanfaatkan sebaiknya untuk memperluaskan pasaran produk ke negara luar serta mendapatkan pengalaman berharga.

"Kita menyertai pelbagai pameran antarabangsa ini bukan semata-mata mahu menjual produk yang ada tetapi mendapatkan seberapa banyak peluang serta memperluaskan jaringan rakan-rakan perniagaan dari seluruh dunia.

"Saya kini boleh berbangga apabila produk Syilis ini sudah berjaya menembusi pasaran global malah sambal petai keluaran Syilis menjadi produk petai pertama tembusi pasaran Jepun secara sah setelah melepasi ujian makmal di sana sebelum dipasarkan," katanya.

Usahawan berusia 36 tahun itu menjelaskan, syarikatnya kini berjaya mengeluarkan lapan produk dan antara yang popular di peringkat antarabangsa adalah sambal nasi lemak, sambal ikan bilis petai serta sambal ikan masin.

Menurutnya, purata pengeluaran produk setiap hari ketika ini sebanyak 1,000 botol malah menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah kepada 3,000 hingga 5,000 pengeluaran sehari.

Sementara itu, Shahrol Annaz menggesa usahawan di negeri ini memanfaatkan peluang yang diberikan pelbagai agensi untuk mengembangkan perniagaan mereka kerana produk-produk keluaran tempatan mempunyai kualiti bagi pasaran antarabangsa.

Katanya, usahawan di Perak mampu pergi lebih jauh dengan bantuan dan bimbingan daripada agensi sama ada di peringkat negeri mahu pun di peringkat persekutuan seterusnya menjadi antara pemain utama dalam menjayakan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang digagaskan Saarani.