SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan pertukaran calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara.
Amirudin yang juga Menteri Besar berkata, beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan akan berlaku pertukaran calon kerusi berkenaan.
"Belum, saya tidak tahu apa-apa, saya kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim (berhubung dakwaan itu)," katanya ketika diminta mengulas mengenai desas-desus menyatakan Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim adalah calon yang disebut-sebut mengisi kerusi berkenaan.
Pada malam pengumuman calon pilihan raya negeri (PRN) bagi PKR Selangor, nama Aidi Amin Yazid telah diumumkan oleh Anwar.
Bagaimanapun terdapat dakwaan kemungkinan Muhammad Izuan yang akan menyerahkan borang penamaan calon bagi kerusi DUN Kota Damansara esok.
Terdahulu, Menteri Besar bersama barisan Exco Kerajaan Negeri menyerahkan kenderaan rasmi jawatan di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Jumaat.
Simbolik penyerahan kunci kenderaan masing-masing diterima oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.
Amirudin turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua Exco kerana sudi meluangkan masa untuk hadir memandangkan masing-masing agak sibuk dengan persiapan PRN.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya merasakan satu kebanggaan kerana turut terbabit dalam jentera kerajaan dalam pemerintahan kerajaan PH yang menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan sebaiknya sepanjang tempoh pemerintahan lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2023," katanya.