SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan penyaluran bantuan sara hidup kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pada tahun ini.
Seramai 454 pelajar daripada dua universiti awam telah menerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin berjumlah RM227,000 setakat ini.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, bantuan tersebut diberikan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan mereka dalam tempoh pengajian di universiti.
"Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT.
"Jadikan bantuan ini sebagai pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan yang cemerlang sekali gus mendapat pekerjaan yang baik serta dapat mengubah nasib keluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa," katanya menerusi satu kenyataan.
Norliza menyampaikan sendiri bantuan itu kepada pelajar dalam majlis yang turut dihadiri Naib Canselor
UUM, Profesor Dr Mohd Fo'ad Sakdan; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed,
Hadir sama, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah PTPTN Negeri Kedah, Fauzi Azli Salleh.
Pada 18 Julai lalu pula, Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam melibatkan bantuan kepada 291 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM145,500.
Penyerahan bantuan kepada pelajar itu disempurnakan Norliza selain dihadiri Ahmad Dasuki; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi; Wan Zawiah dan Pengarah PTPTN Negeri Selangor, Rohaida Deris.
Program berimpak tinggi
Norliza menjelaskan, bantuan pengajian tersebut menjadi salah satu daripada pelbagai program berimpak tinggi yang dijalankan pihaknya demi kebajikan pelajar khususnya peminjam PTPTN.
Inisiatif Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin mula dilaksanakan tahun lalu di mana setiap pelajar yang layak, menerima bantuan sebanyak RM500 secara sekali beri atau 'one-off' yang disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.
Bagi memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan teratur dan menepati kumpulan sasaran yang ditetapkan, PTPTN telah mengadakan kerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPT terlibat.
PTPTN yang telah ditubuhkan pada tahun 1997 merupakan peneraju tabung pendidikan utama negara yang telah melahirkan ramai modal insan kepada negara.
Peranan, jasa dan sumbangan PTPTN kepada masyarakat Malaysia ternyata telah merealisasikan matlamat melahirkan generasi berpendidikan.
Beli keperluan
"Nilai RM500 yang diterima besar ertinya buat saya kerana boleh digunakan untuk beli pelbagai keperluan saya di kampus lebih-lebih lagi ada antara harga sesetengah barang agak mahal.
"Bantuan ini juga sangat membantu meringankan beban saya dan rakan-rakan lebih-lebih lagi pada waktu hujung semester sekarang," ujarnya yang berasal dari Semporna, Sabah.
Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, bapanya, Jefrin Masdar, 51, bekerja sebagai pembantu di pelabuhan di Lahad Datu, Sabah dengan pendapatan sekitar RM1,000 lebih sebulan manakala ibunya hanya suri rumah sepenuh masa.
Pelajar semester enam program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan itu yang juga peminjam PTPTN mengakui, penerimaan bantuan berkenaan juga menyuntik semangatnya untuk belajar dengan lebih tekun.
"Saya dapat bantuan ini pada Jumaat lalu, wang dikreditkan terus ke akaun bank saya. Memang saya tak sangka tiba-tiba dapat bantuan tunai sebegini. Alhamdulillah dengan rezeki ini.
"Terima kasih kepada PTPTN kerana bukan sahaja menyediakan pembiayaan pengajian kepada pelajar malah turut beri bantuan 'one-off' sebab prihatin akan kebajikan pelajar seperti kami," katanya.