MALAYSIA sekali lagi berpeluang untuk menamatkan penantian selama hampir empat dekad untuk mencipta sejarah pada pentas final apabila mara buat kali kelima pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Wanita Dunia 2023 di Melbourne, Australia.
Malaysia layak ke final buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan Amerika Syarikat 3-0 pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne, pada Jumaat.
Sandaran utama negara, Aira Azman dipaksa bermandi peluh menentang Caroline Fouts sebelum berhasil menyumbang mata pertama negara.
Naib juara acara perseorangan remaja baru-baru ini, tewas di dua set awal 9-11, 11-13 sebelum bangkit dengan tiga kemenangan berturut-turut dalam perlawanan yang diheret sehingga ke set penentuan 11-6, 11-3, 11-7.
Malaysia kemudian memperoleh mata kedua menerusi kemenangan percuma susulan Madison Ho, yang sepatutnya bertemu pemain negara, K. Sehveetrraa, menarik diri sebelum perlawanan bermula.
U. Thanussa kemudian mengesahkan kemaraan negara ke pentas akhir selepas menewaskan Emma Trauber 11-9, 11-8, 16-14.
Pada dua final sebelum ini pada 2017 dan 2019, Malaysia tewas kepada Mesir, selaku juara tujuh kali kejohanan itu yang diperkenalkan pada 1985.
Malaysia pertama kali layak ke final pada 2001 dan 2007.
Jurulatih kebangsaan, Andrew Cross, menyifatkan aksi final menentang juara bertahan Mesir adalah tugas paling getir dalam sejarah kejohanan dunia itu dan pemain negara akan memperagakan aksi terbaik tanpa sebarang tekanan.
"Mereka melakukan yang terbaik hari ini untuk menang... mungkin mereka hanya terus berjuang ketika bermain rali panjang dan percaya bahawa mereka boleh menang,” katanya ketika dihubungi selepas aksi separuh akhir itu. - Bernama