Media Prima terus bersinergi untuk kempen #QuranHour

Iklan
Gerakan kempen #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memberi aspirasi dan cetusan potensi setiap individu yang dapat dilonjakkan dan membina kerangka fikir berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Gambar kecil:Ruzmi

PETALING JAYA – Media Prima Berhad menyahut kempen #QuranHour yang dapat menarik minat masyarakat Islam untuk kembali kepada al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Ini selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan aspirasi Malaysia Madani yang bermatlamat untuk melahirkan generasi berakhlak dan membangun negara yang berbudi dan penyayang.

Iklan
Iklan

Penasihat Eksekutif Kanan Pengisian Islam Media Prima, Ruzmi Kamarudin berkata, selain membaca, kita dapat memperelokkan bacaan al-Quran dengan menumpukan kepada tajwid dan taranum.

Seterusnya kita dapat memahami al-Quran melalui kaedah tadabbur dan mengajak diri, keluarga dan masyarakat kembali beramal kepada al-Quran.

Iklan

"Kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran yang menjadi asas kepada kejayaan. Gerakan kempen #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memberi aspirasi dan cetusan potensi setiap individu yang dapat dilonjakkan dan membina kerangka fikir berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Ini sebenarnya selari dengan matlamat Media Prima iaitu menyampaikan mesej dan maklumat yang dapat memberi ilmu bermanfaat kepada penonton, selain hiburan.

"Media Prima melalui TV3 memberi sokongan untuk menyiarkan program #QuranHour seperti World #QuranHour sejak 2016. Kini usaha tersebut diteruskan dengan penyiaran My #QuranTime pada jam 12 hingga 1 tengah hari setiap hari di TV9 bermula 5 Februari 2023. Penonton boleh saksikan siaran ulangannya pada jam 4.30 pagi di TV9 dan di platform Tonton di www.tonton.my.

Iklan

"Tahun ini TV9 telah menyiarkan World #QuranHour secara langsung selama sejam bermula 12 tengah hari pada 13 April lalu bersamaan 22 Ramadan 1444H. Selain itu, penonton boleh ikuti rancangan baru Quranic Solution terbitan WUIF di TV9 pada jam 10.30 malam setiap Khamis bermula 3 Ogos ini," katanya.

Ditanya mengenai Surah Al-Insan sebagai surah pilihan bagi kempen #QuranHour tahun ini, beliau berkata, surah tersebut dekat dengan kita kerana ia selalu dibaca ketika solat Subuh pada setiap Jumaat. Ini memberi kesedaran kepada kita mengenai tujuan penciptaan kita sebagai hamba ALLAH tanpa mengira status di dunia.

"Manusia secara psikologi sering diuji. ALLAH SWT menguji manusia bukanlah untuk menghukum, memartabatkan hamba-Nya yang bersyukur dan reda. Semakin kuat seseorang insan itu menghadapi ujian tersebut semakin hebat dirinya.

"Surah Al-Insan membawa panduan 11 karakter iaitu amanah, takwa, infak, ikhlas, berorientasikan akhirat, teguh, sabar, kawalan diri, taat, bina jiwa dan syukur. Jika nilai tersebut dapat digarapkan dalam diri sebagai insan abrar, mereka boleh memanifestasikan pelbagai projek keinsanan yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

TAHU KEADAAN SEKELILING

Kata Ruzmi lagi, sebagai orang Islam, kita bukan sekadar beribadah untuk diri sendiri, tetapi perlu tahu keadaan masyarakat sekeliling. Masjid dan surau merupakan institusi paling dekat dengan masyarakat untuk memberi sumbangan. Mereka perlu lebih proaktif. Kita perlu membudayakan sikap memberi untuk membantu orang sekeliling.

"Jurang kaya miskin semakin jauh. Kesan paling ketara berlaku ketika berlaku penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu, ramai yang dibuang kerja dan perniagaan tidak berjalan. Kita dapat melihat kesusahan masyarakat dan ia memerlukan sikap ihsan dan penyayang kepada orang lain. Jika kita dapat menunjukkan sikap sedemikian, maka tiadalah isu angkat bendera putih dan sampai ada yang bunuh diri.

"Bagi saya, tugas 'memanusiakan manusia' dengan berpandukan Surah Al-Insan bukan hanya terletak kepada asatizah dan pendidik, malah melibatkan semua pihak daripada segenap lapisan masyarakat.

"Kita semua perlu bersinergi untuk memanusiakan manusia demi anak cucu, negara akan datang dan dunia semakin berkembang. Oleh itu, kita perlu kembali kepada al-Quran dan Sunnah untuk menjadi hamba ALLAH yang bertakwa dan berakhlak mulia.”

Menurut beliau, antara visi dan misi Media Prima yang utama adalah untuk membentuk masyarakat berinovasi dan sentiasa disaji maklumat terkini. Ia bukan sekadar menyampaikan hiburan yang kosong, tetapi menyampaikan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dan ini selaras dengan pendekatan membentuk Masyarakat Madani.

Sehubungan itu, Media Prima menggunakan semua platform media seperti saluran digital, rangkaian TV, radio, media cetak dan media baru untuk menyampaikan mesej dengan cepat dan tepat. Pada masa sama, pelbagai aktiviti turun padang melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mendekati masyarakat, seperti membantu golongan susah pada program Bersamamu dan bertemu peminat pada program Jom Heboh.

Program tersebut secara langsung dapat mendidik warga Media Prima untuk memanusiakan manusia. Kita sentiasa menggalakkan pekerja bersifat kasih sayang dan prihatin. Peranan kita sebagai orang media perlu memahami dan menjiwai dahulu agar dapat mengetahui keperluan dan kehendak masyarakat di luar sana.

"Mungkin persepsi masyarakat melihat media sebagai penyampai berita tetapi kini peranan kita lebih daripada itu. Kita mampu memberi teguran dan cadangan yang selari dengan keperluan masyarakat dan negara.

"Untuk bergerak ke hadapan, Media Prima telah melakukan perubahan dan penyesuaian dengan perkembangan teknologi maklumat dan media baru bagi mengatasi cabaran baru dari segi pengurusan, kakitangan dan modal perniagaan, agar selari dengan perkembangan semasa.

"Hari ini, ia memang mencabar untuk melahirkan media dan wartawan berintegriti. Media Prima sebagai organisasi media yang lama beroperasi kita semakin berkembang dan berubah. Namun tugas wartawan tidak berubah. Ia menuntut kredibiliti dan laporan yang sahih, tepat, bernas dan jelas.

Pada masa sama, kata Ruzmi, Media Prima meletakkan keutamaan kepada aspek kandungan untuk memastikan ia berkualiti, persembahan lebih menarik ada tarikan penonton semuanya ada menepati kehendak masyarakat.

"Industri media perlu kekal bebas dan berintegriti. Bagaimanapun kebebasan tersebut perlu ada tanggungjawab untuk mengelakkan perkara yang merosakkan masyarakat dan negara.

"Kita perlu menjadi media yang lebih dihormati dan dipercayai. Oleh itu pihak media menyambut baik usaha dakwah dalam mengajak masyarakat menjadi lebih baik,” ujarnya.

Media Prima antara rakan sinergi media yang menyokong kempen #QuranHour sejak 2016. Rakan Sinergi Media mengambil tanggungjawab kemanusiaan dengan menguar-uarkan kempen tersebut untuk mengimarahkan al-Quran yang menjadi panduan kehidupan manusia sejagat di platform media masing-masing. Gabungan media telah melahirkan impak perkembangan misi baca, faham, amal al-Quran dari Malaysia ke seluruh dunia.