SEREMBAN - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek memaklumkan yang beliau akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri (PRN) ini.
Menerusi mesej pesanan ringkas WhatsApp kepada Sinar Harian, Mohamad Rafie memberitahu yang beliau akan hadir ke Pusat Penamaan Calon di Kompleks Belia dan Sukan Paroi (Kombes).
"Salam. Untuk makluman awal. Saya akan bertanding sebagai calon Bebas untuk N14 Ampangan.
"Esok (Sabtu) saya akan ke Pusat Penamaan Calon di Kombes, Seremban," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan yang beliau mendakwa tidak dicalonkan semula pada PRN ini berikutan ada individu tergugat dengan kehadirannya dalam kerajaan negeri.
Dakwa beliau lagi, pencapaian cemerlang serta nilai keperibadian dengan integriti yang baik yang ada pada dirinya menjadi ancaman kepada individu tersebut.
Mohamad Rafie merupakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan untuk kerajaan Negeri Sembilan pada penggal lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad Rafie daripada parti PKR menang dengan majoriti 1,360 undi apabila memperoleh 6,801 undi ketika menentang Abu Ubaidah Redza daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 5,441 undi.