Dominic hadir tanpa penyokong Pas

Iklan
Dominic (tengah) hadir bersama penyokongnya, namun tiada penyokong daripada Pas ketika hari penamaan calon bagi N38 Bayan Lepas.

BAYAN LEPAS - Suasana hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar tenang tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Kerusi DUN Bayan Lepas menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Azrul Mahathir Aziz dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Iklan
Iklan

Azrul daripada Parti Amanah Negara (Amanah) manakala Dominic daripada Parti Gerakan.

Tiada kelibat penyokong Pas mengiringi Dominic susulan khabar angin yang mengatakan berlaku perselisihan pendapat antara Pas dan Gerakan bagi kerusi DUN Bayan Lepas.

Iklan

Kira-kira 100 penyokong hadir mengiringi Dominic yang tiba pada jam 8.30 pagi dengan laungan 'Perikatan Nasional', 'Jom Kalih' dan 'Hidup Dominic'.

Sementara Azrul pula diiringi kira-kira 300 penyokong yang melaungkan 'Malaysia Madani' dan 'Malaysia Boleh'.

Iklan

Dominic menyerahkan borang penamaan pada jam 9.03 pagi sambil diiringi pencadang, Naib Ketua Bersatu Cawangan Teluk Kumbar, Ramli Hussain dan penyokong, Setiausaha Bersatu Cawangan Pasir Belanda, Madzin Che Din.

Azrul pula menyerahkan borang penamaan pada jam 9.07 pagi dengan diiringi pencadang, Bendahari Amanah Balik Pulau, Safar Said dan penyokong, Naib Ketua Amanah Balik Pulau, Jamaludin Said.

Borang bagi kedua-dua calon tersebut diserahkan kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya N38, Mohd Hafiz Aswad Nadzri.

Kesemua calon tersebut disahkan penyertaan mereka oleh Mohd Hafiz di pekarangan Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar pada jam 10.18 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Bayan Lepas dimenangi Azrul Mahathir dengan majoriti 5,245 undi selepas mendapat 12,504 undi dengan menewaskan calon BN, Rusli Hashim (7,259 undi) dan calon Pas, Zarina Shinta Madar (2,497 undi).

Ikuti perkembangan berita semasa politik tanah air di sini!