SEREMBAN - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek membuat kejutan apabila tampil sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di DUN berkenaan.
Beliau yang tiba di Pusat Penamaan Calon di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini pada Sabtu hadir bersama isteri, Datin Salina Shamsuddin serta kira-kira 50 penyokongnya yang membawa bendera putih tertera gambar Mohamad Rafie.
Malah penyokongnya turut melaungkan 'Dr Rafie Bebas'.
DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Rafie, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman calon Pakatan Harapan (Pakatan Harapan) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin calon Perikatan Nasional(Perikatan Nasional).
Pengumuman rasmi pencalonan mereka dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Ampangan, Zulfadhli Aziz pada jam 10.30 pagi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mohamad Rafie bertanding mewakili PH dan menang dengan majoriti 1,360 undi.
Beliau mengalahkan dua pencabarnya apabila memperoleh 6,801 undi manakala Abu Ubaidah Redza daripada Barisan Nasional 5,441 undi dan Mustaffa Daharun daripada Pas 983 undi.
Bekas pegawai khas Exco negeri tanding bebas
SEREMBAN - Seorang bekas pegawai khas Exco kerajaan negeri tampil bertanding di bawah tiket Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi.
Muhammad Syakir Fitri Sadri, 25, yang merupakan bekas pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani itu hadir menyerahkan borang pencalonan menggunakan logo pokok.
Muhammad Syakir berkata, penglibatannya sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai usaha memperkasa golongan belia untuk melibatkan diri dalam politik.
"Sedia maklum di Negeri Sembilan tiada calon muda yang bertanding, malah hanya saya seorang tampil sebagai calon bebas.
"Pengalaman saya sebagai bekas pegawai khas Exco negeri memberi kelebihan untuk membawa aspirasi anak muda dalam memperjuangkan nasib belia sekali gus membawa suara mereka kepada kerajaan," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon DUN Paroi pada Sabtu.
Sementara itu DUN Paroi menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
PH menampilkan calon wanita iaitu Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Norwani Ahmad manakala Kamarol Ridzuan Mohd Zain mewakili PN.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Paroi melibatkan 60,704 pengundi dengan hampir 30,000 merupakan golongan belia.