PASIR MAS - Aktivis masyarakat, Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri membuat kejutan apabila tampil sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong.
Kehadiran Suzainal itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Bebas, Pas dan Barisan Nasional (BN).
Pada PRN 12 Ogos ini Pas diwakili penyandang kerusi itu Rozi Mohamad manakala BN mempertaruhkan muka baharu Noor Hariri Mohamed Noor.
Suzainal menyerahkan borang pencalonan kepada Pengurus Pilihan Raya DUN Tendong pada jam 9.03 pagi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Rozi menang dengan majoriti menewaskan calon BN dan PKR 2,251 undi.
Sementara itu, Suzainal berkata, keputusan untuk bertanding dibuat selepas melihat Pas dan BN sudah tidak revelen dalam membela nasib rakyat.
"Sebagai aktivis masyarakat saya melihat kedua-dua parti itu gagal membela rakyat.
"Berilah sokongan kepada saya untuk membantu dan memajukan kawasan DUN Tendong," ujarnya.
UMNO Pekan gempur, bantu kempen Dun Bunut Payung
KUANTAN - UMNO Pekan akan menggempur dan membantu kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payung, Kelantan bagi memastikan kawasan itu dimenangi Barisan Nasional (BN).
Ketua UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bantuan kempen itu bagi mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di DUN terbabit yang mempunyai 37,000 pengundi.
"Gabungan BN dan Pakatan Harapan (BN-PH) diyakini mampu menambah jumlah bilangan kerusi DUN pada PRN 12 Ogos nanti.
"Ini berpandukan kepada kerjasama kukuh antara BN-PH yang kini semakin serasi dan kuat," katanya pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik UMNO Bahagian Pekan Kali Pertama (1) Penggal (2023-2026) di sini.
Beliau berkata, jika dicampur jumlah undi yang diperoleh oleh PH-BN pada PRU lalu didapati mampu menggugat kedudukan Pas di negeri Kelantan.
Malah jelasnya, ia mampu mencapai kemenangan jika PH-BN terus fokus, bekerja keras dan saling bantu-membantu.
Menyentuh mengenai laporan gerak kerja sayap UMNO Pekan, Mohammad Fakhruddin berkata, laporan aktiviti setiap DUN dalam Parlimen Pekan, jelajah Pusat Daerah Mengundi, hal berkaitan anak-anak muda (pengundi baharu), kursus untuk jentera UMNO Pekan dan beberapa perkara penting lain diberi fokus dalam mesyuarat itu.
"Semoga segala usaha dan kerja keras yang kita lakukan membawa banyak kebaikan buat agama, bangsa, negeri, parti UMNO dan tanah air," ujarnya.
Bukan mudah rampas DUN Tendong - BN
PASIR MAS - Calon BN, Noor Hariri Mohamed Nor menyifatkan bukan mudah untuk merampas kerusi DUN Tendong pada PRN kali ini.
Beliau yang pertama kali dicalonkan berkata, berdepan dengan penyandang selama dua penggal iaitu Rozi Mohamad dari Pas memerlukan kerja keras jika mahu melakukan kejutan.
"Beliau (Rozi) ada kekuatan tersendiri.
"Di sebalik kekuatan itu, kita kena perhatikan di mana ruang-ruang yang boleh ditembusi," katanya semasa ditemui di Pusat Penamaan Calon di Kolej Vokasional Pasir Mas di sini pada Sabtu.
Noor Hariri yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas bukan sahaja dicabar oleh Pas tetapi calon Bebas iaitu Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Rozi menang dengan majoriti menewaskan calon BN dan PKR 2,251 undi.