GOMBAK - Situasi di pusat penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor terkawal dan tiada sebarang bentuk provokasi melampau.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keadaan terkawal dan penyokong-penyokong parti yang hadir dilihat mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
"Proses penamaan pada hari ini lancar dan setakat ini keadaan adalah tenang.
Situasi ini direkod setakat jam 10.30 pagi.
Mengulas mengenai situasi pusat penamaan calon SMK Sungai Pusu, beliau berkata, seramai 400 anggota polis telah ditugaskan di daerah Gombak melibatkan dua pusat penamaan calon iaitu di SMK Sungai Pusu dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Tambahnya, seramai 220 anggota polis ditempatkan di sekitar pusat penamaan calon SMK Sungai Pusu dan 180 anggota ditempatkan di MPS.
Untuk info, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal pada 8 Ogos.