KUBANG PASU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, 54, menafikan tindakannya menyaingi bekas guru untuk merebut kembali kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah sebagai derhaka.
Ketua Srikandi Bersatu Kedah itu berkata, ia perkara biasa apabila berada dalam politik dan akan bersikap profesional kerana beliau bertanding mewakili parti.
"Kami berdua secara peribadi tak ada masalah, ini bukan anak murid lawan cikgu, jadi derhaka, dak (tidak) pun.
"Malah Cikgu Non sendiri pun bangga dengan saya sebagai anak murid dia yang pernah jadi Exco kerajaan negeri sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas Hari Penamaan Calon di Dewan Tunku Anum di sini pada Sabtu.
Sebelum itu ketika kedua-dua calon diarak untuk pengumuman calon di atas pentas, segelintir penyokong cuba menimbulkan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata"anak murid lawan cikgu jadi derhaka".
Halimaton Shaadiah dari Perikatan Nasional (PN) akan menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan bekas guru Matematiknya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad, 65, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Non dari Barisan Nasional (BN).
Pengumuman rasmi calon bagi DUN itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN Jitra, Mohd Zaidy Omar pada jam 10.30 pagi pada Sabtu.
Sementara itu, Zainol Abidin yang juga Tokoh Guru Negeri Kedah 2022 berkata, tugas untuk menentang Halimaton Shaadiah di kerusi terbabit adalah amanah besar diberikan kepadanya.
"Bagaimanapun ini adalah tanggungjawab saya dan sekiranya diberi mandat oleh pengundi di Bukit Kayu Hitam ini saya akan berkhidmat dengan sepenuh jiwa termasuk memberi fokus kepada pembangunan pendidikan anak bangsa," katanya.