Polis buru suspek kes cabul di LRT

Iklan
Seorang lelaki yang diburu polis turut dikesan bertindak mengetuk dinding tren. Tangkap layar tindakan orang ramai yang cuba menahan suspek dipercayai mencabul seorang wanita di LRT Maluri, Kuala Lumpur. Gambar kecil: Zam Halim

KUALA LUMPUR - Polis menyiasat satu kejadian kes cabul terhadap seorang wanita di platform Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Maluri, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian itu telah tular menerusi satu klip video berdurasi satu minit 10 saat di aplikasi Twitter yang dimuat naik pemilik akaun 'localrkyt'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, video itu memaparkan seorang lelaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki ini, mohon maklumkan kepada pihak polis di talian Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan akan bekerjasama dengan polis bagi mengesan suspek terbabit dalam kejadian melibatkan seorang lelaki yang bertindak melulu menceroboh trek LRT menerusi platform 1 ke platform 2.

Iklan

"Suspek kemudian telah cuba mencabul salah seorang wanita yang sedang menunggu tren di platform terbabit.

"Ketika kejadian, anggota polis bantuan yang sedang bertugas di platform bertentangan bergegas turun ke bawah untuk ke platform tempat kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang sedang bergelut dengan suspek," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Tambah Rapid Rail, orang awam berjaya membantu meleraikan mangsa daripada suspek, bagaimanapun suspek gagal diberkas kerana tindakan agresifnya sebelum meloloskan diri pada jam 8.05 pagi.

Menurut Rapid Rail, pihaknya kesal dengan kejadian yang berlaku dan tindakan segera telah diambil dengan menambah anggota polis bantuan di stesen-stesen dalam meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.