SIK - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin beliau akan menerima 'serangan' yang sangat padat sepanjang tempoh berkempen pilihan raya negeri (PRN).
Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah itu berikrar akan terus menjawab segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya sebaik mungkin.
Menyedari pelbagai kontroversi yang sedang melanda dirinya, Sanusi menyifatkan perkara itu tidak sesekali menggugat kedudukan beliau.
"Dua minggu ini akan penuh dengan serangan, saya rasa orang pun faham dah... seranglah apa pun, kalau saya boleh jawab saya jawablah, kalau tidak saya serah pada ALLAH.
"Tiada apa yang membimbangkan saya, kontroversi pun orang yang kata," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini pada Sabtu.
Dalam masa sama, Sanusi berkata, beliau akan terus membongkar pelbagai bentuk persoalan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu salah laku kerajaan sebelum ini.
"Saya ada banyak soalan untuk dia (Saifuddin)... nanti saya akan 'tembak' (tanya) setiap hari satu soalan, dia kan rajin siasat itu, siasat ini.
"Yang dah siasat pun dia nak siasat lagi... jadi dia rajin kita bagilah dia kes untuk disiasat... saya jawab banyak soalan dia (Saifuddin), tetapi dia tak jawab lagi soalan saya," katanya lagi.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) turut menyelar Saifuddin yang baru-baru ini dilihat berkempen di pulau percutian popular, Langkawi dengan menggunakan agensi kerajaan.
"Kelmarin dia (Saifuddin) kempen di Langkawi guna Jabatan Imigresen untuk 'check-in' hotel... saya tahu semua itu 15 bilik dia ambil... tatakelola (teguran sinis).
"Mana boleh program parti guna agensi kerajaan... itu salah. Saya sendiri tidak pernah buat kerja macam itu... langsung tak boleh diterima oleh rakyat," tegasnya.
Bercakap mengenai potensi PN di Kedah, beliau yakin parti itu mampu untuk kekal mentadbir termasuk kerusi yang ditandinginya berdasarkan momentum sokongan ketika ini.
PN juga, katanya, menempatkan calon yang mempunyai nilai tambah yang dianggap satu kelebihan kepada gabungan itu untuk menentang pasukan lawan. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN:
'Pengantin ada dalam' - Sanusi
'Kalau Sanusi kalah, seluruh Malaysia kenal saya' - Khizri