'Budaya samseng itu cerita lama, beri peluang kepada saya' - Ayahanda Cik Ton

Iklan
Fazil Mohamad Dali

AMPANG - Calon Perikatan Nasional (PN), Fazil Mohamad Dali tidak mahu menjadikan kisah silamnya sebagai penghalang untuk berbakti kepada masyarakat, jika diberikan mandat pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Calon kerusi DUN Pandan itu yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT) berkata, ‘budaya samseng’ yang dikaitkan dengannya adalah cerita lama.

Iklan
Iklan

Bagi bapa kepada 15 cahaya mata itu yang lebih dikenali sebagai Ayahanda Cik Ton, apa yang penting, penghijrahan sejak lebih empat tahun memberi keyakinan kepadanya untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kadang-kadang kalau tidak bagi peluang kepada orang macam saya, siapa nak bagi? Jadi bagi peluang kepada kami dan kami cuba buat yang terbaik.

Iklan

"Mungkin cerita silam itu kita (tak boleh padam), itu cerita lama. Sekarang ini umur sudah nak masuk 50 tahun, takkan nak bawa yang silam lagi.

"Jadi kita nak ada pengakhiran. Pengakhiran kita nak abdikan diri kepada masyarakat,” katanya di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Perbandaran MPAJ di sini.

Ditanya sama ada dia senang disapa sebagai Ayahanda Cik Ton, lelaki berusia 49 tahun itu berkata gelaran tersebut sudah sinonim dengannya.

"Tak boleh nak ubah, itu memang (sinonim)... orang kata dah umur 50 tahun, itu juga orang panggil (Ayahanda Cik Ton), Fazil ini orang tak kenal,” tambahnya.

Ujar dia lagi, pemilihannya sebagai calon bagi mewakili PN juga telah diputuskan oleh pucuk pimpinan.

Sebagai calon, dia berkata perlu ada sikap tanggungjawab dan sentiasa turun padang.

Dalam masa sama, Ayahanda Cik Ton berkata, beliau membawa aspirasi untuk memperjuangkan nasib golongan B40, selain mengatasi isu banjir di kawasan berkenaan.

Kerusi DUN Pandan Indah menyaksikan saingan empat penjuru pada 12 Ogos ini.

Selain Ayahanda Cik Ton, Pakatan Harapan (PH) meletakkan penyandang kerusi tersebut, Izham Hashim bagi mempertahankan DUN Pandan Indah.

Sementara dua lagi calon ialah Lisa Redzuan yang juga Timbalan Ketua Parlimen Muda Bandar Tun Razak mewakili Muda dan seorang calon Bebas, Sivaneswaran Ramasundram. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Empat penjuru di DUN Pandan Indah, Cik Ton lawan Izham

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!