KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook antara nama besar yang berdepan pertandingan satu lawan satu di kawasan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan, akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi penggal kelima sejak 2004 berhadapan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan.
Loke (PH-DAP), yang juga Menteri Pengangkutan, berdepan Rosmadi Arif (PN-Bersatu) bagi mempertahankan kerusi Chennah, yang dipegangnya sejak pilihan raya umum 2013.
Sementara itu, tiga Menteri Besar berdepan saingan satu lawan satu iaitu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (PN-Pas) yang dicabar Zamakh Sari Ibrahim (PH-PKR) di Pasir Pekan, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (PN-Pas) bertembung Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim (PH-BN) di Jeneri manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ditentang Suhaimi Sulaiman (PH-Amanah) di Ru Rendang.
Turut berdepan saingan satu lawan satu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (PH-DAP) yang dicabar H’ng Khoon Leng (PN-Gerakan) bagi mempertahankan kerusi Padang Kota yang dipegangnya selama tiga penggal sejak 2008.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-PKR) menghadapi pertandingan tiga penjuru bagi mempertahankan kerusi Sungai Tua setelah dicabar Muhammad Hanif Jamaluddin (PN-Pas) dan Suman Gopal, calon Bebas.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-PKR) berdepan saingan empat penjuru untuk mempertahankan kerusi Sikamat yang diwakilinya sejak 2008. Beliau dicabar Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN-Bersatu) dan calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.
Sementara itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-PAS) yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya lepas sebelum Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan itu, berhadapan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu Azan Ismail atas tiket PH.
Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos. - Bernama