PRK Kuala Terengganu 'menyelit' dalam kehangatan PRN

Iklan
Azan Ismail (kiri) dan Ahmad Amzad Mohamed@ Hashim (Pas) pada majlis pengumuman calon di Pusat Penamaan Calon, Menara MBKT pada Sabtu. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Tatkala semboyan berbunyi menandakan 'perang' kempen kini bermula untuk 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jangan dilupa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut ‘menyelit’ dalam kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pas mempertaruhkan kembali calonnya, Datuk Ahmad Amzad Hashim, namun Barisan Nasional (BN) memilih untuk tidak 'kitar semula' calonnya iaitu Datuk Mohd Zubir Embong, sebaliknya menampilkan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail daripada PKR sebagai calon mereka.

Iklan
Iklan

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Anuar Awang ketika mengisytiharkan nama calon-calon yang bakal merebut kerusi Parlimen itu pagi tadi mengesahkan hanya dua individu yang akan bertanding iaitu Azan dan Ahmad Amzad.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen tersebut pada 27 Jun lepas.

Iklan
Pada 3 Januari lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Eloklah saya tumpu kepada apa yang saya nak lakukan jika diberi amanah kembali,” kata Ahmad Amzad ketika ditemui selepas mengemukakan kertas pencalonan.

Sementara itu, Azan pula tidak menaruh harapan menggunung apabila sekadar berharap beliau mampu memperoleh majoriti minimum untuk merampas kerusi Parlimen tersebut.

Iklan

"Majoriti sekarang agak besar, tapi kita ada sejarah di mana pengundi di Kuala Terengganu adalah yang paling elit, punya penilaian berbeza terhadap pilihan raya.

"Insya-ALLAH kita cuba yang terbaik dan ada sikit keyakinan bahawa kita boleh capai majoriti minimum untuk kita menang... kita tidak letak angka yang besar, tapi cukup untuk menang," katanya.

Parlimen Kuala Terengganu melibatkan kawasan DUN Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang dan Batu Buruk dengan 123, 575 pengundi berdaftar dan 44 pusat mengundi dibuka meliputi 222 saluran. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!