Tanding Bebas, keahlian PKR Rafie automatik gugur - Aminuddin

Iklan
Aminuddin (tengah) beramah mesra dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (kiri) pada proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Komuniti Coral Height pada Sabtu.- Foto Bernama

SEREMBAN - Keahlian Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) gugur secara automatik berikutan tindakannya menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan atas tiket Bebas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya tidak menerima makluman daripada penyandang kerusi DUN Ampangan itu berhubung hasratnya untuk bertanding atas tiket Bebas pada PRN.

Iklan
Iklan

"Ikutkan itu hak dia untuk bertanding, tetapi dia akan digugurkan sebagai ahli parti, kita hanya dengar berita desas-desus dia nak bertanding itu semalam. Ahli lain yang terlibat juga akan diambil tindakan,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Coral Heights di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Mohamad Rafie dilaporkan membuat kejutan apabila tampil sebagai calon Bebas semasa penamaan calon di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pagi tadi.

Iklan

DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Rafie, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin bagi Perikatan Nasional.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohamad Rafie mewakili PH, menang di kerusi itu dengan majoriti 1,360 undi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohamad Rafie dakwa namanya gugur atas arahan Rafizi, Aminuddin

Dalam pada itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan itu berkata, tindakan Mohamad Rafie tidak menjejaskan gerak kerja parti untuk mempertahankan kerusi DUN Ampangan bagi pilihan raya kali ini.

Iklan

"Saya masih optimis dengan peluang di DUN Ampangan, masih ada kekuatan, saya yakin jentera yang ada akan membantu calon kita (Tengku Zamrah) bagi kemenangan di kerusi itu. Kita serah kepada rakyat untuk menentukan kerusi di DUN Ampangan, siapa yang layak untuk dipilih.

"Dia (Mohamad Rafie) telah selesai penggal dia, saya mengucapkan terima kasih, dia berhak memilih apa jua parti selepas ini, dalam PKR dia dipecat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos dan pengundian awal 8 Ogos ini. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!