Tempoh kelulusan permit kempen dipendekkan

Iklan
Mazli

KUALA TERENGGANU - Tempoh kelulusan permit bagi parti yang ingin mengadakan ceramah sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) di Terengganu dipendekkan kepada dua hari.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, tempoh permohonan itu disingkatkan berbanding selama lima hari sebagaimana ditetapkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Saya percaya semua parti yang bertanding adalah parti-parti yang sudah lama dan memahami perundangan dalam negara untuk memastikan PRN berjalan lancar dan selesa tanpa sebarang insiden," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau pusat penamaan calon Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di pekarangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada Sabtu.

Iklan

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu kira-kira 2,200 anggota ditugaskan memantau dan mengawal keselamatan di 32 pusat penamaan calon seluruh negeri.

Katanya, tinjauan di beberapa pusat penamaan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang mendapati semua penyokong dan pemimpin mematuhi semua peraturan ditetapkan.

Iklan

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama baik sepanjang proses penamaan pagi ini. Kita berharap suasana baik ini akan berpanjangan hingga proses pengundian 12 Ogos depan.

"Ada 14 hari lagi sebelum hari pengundian, kita harap semua parti ikut garis panduan yang ditetapkan kerana pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah beri taklimat panjang lebar mengenai peraturan yang ditetapkan," katanya.

Semua parti politik yang terlibat dalam PRN dan PRK di Terengganu telah selesai menyerahkan borang pencalonan pada Sabtu sebelum melalui proses berkempen selama dua minggu.