KOTA BHARU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan golongan belia di negara ini memerlukan peruntukan yang cukup untuk mereka menjalankan aktiviti.
Menurutnya, pemberian tersebut bukan bermaksud beliau cuba menormalisasikan rasuah sebagaimana dakwaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Iklan
Iklan
"Sama ada persatuan belia peringkat daerah, negeri, apatah lagi Majlis Belia Malaysia," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti-parti Komponen Kerajaan Perpaduan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Kota Bharu di Pejabat UMNO Kelantan, di sini.
"Syed Saddiq mungkin sebuah parti yang akan menerima nasib sebagaimana sebuah parti yang meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan hilang depositnya," selar Ahmad Zahid.
Media sebelum itu melaporkan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.