KOTA BHARU - Calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Ahmad Deraman bertekad mempertahankan legasi parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Beliau yang juga ahli perniagaan mesra dengan gelaran Mat Jeliro itu berkata, akan mendekati golongan muda dalam usaha mencapai kemenangan terhadap parti berkenaan.
Menurutnya, mahu mengekalkan kawasan Kok Lanas sebagai satu DUN yang termaju dalam negeri Kelantan dan dengan kesinambungan legasi yang akan dilakukan.
"Di negeri ini, anak muda mulai sedar dan mahukan kemajuan serta perubahan.
PRN Kelantan kali ini menyaksikan tiga DUN di Parlimen Ketereh iaitu N23 DUN Melor, N24 DUN Kadok dan N25 DUN Kok Lanas menyaksikan perlawanan dua penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN) diwakili Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Pakatan Harapan diwakili calon BN dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Di DUN Melor, calon Wan Rohaimi Wan Daud (PN-Pas) bertembung calon BN, Azmi Ishak, manakala DUN Kadok, wakil tunggal Amanah, Ir Mohd Azizan Razak mewakili Pakatan Harapan (PH) menentang calon Pas, Datuk Azami Mohd Nor.
Ahmad berdepan akauntan yang mewakili PN-Bersatu, Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Kata Ahmad, manifesto utama beliau mahu memastikan kelompok orang muda tidak berasa dipinggirkan dan akan berusaha membangunkan semula kemudahan-kemudahan sukan di kawasan itu.
"Saya nak bangunkan semula kemudahan-kemudahan sukan dan berharap negeri ini berubah supaya anak-anak Kelantan tak menjadi perantau untuk mencari kerja di luar,” kata beliau.
Sementara itu, lawan Ahmad, Mohamed Farid berkata, pengalaman beliau sebagai ketua pegawai kewangan dan setiausaha politik bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjadi kelebihan buat beliau.
Mohamed Farid juga calon muka baharu itu turut menjelaskan beliau bukan orang luar yang datang bertanding di DUN itu.
"Saya orang Kota Bharu dan berasal dari Berek 12, masih dekat dengan Kok Lanas yang juga di bawah daerah Kota Bharu,” ujar beliau.