PRN: Juwairiya tak gentar bertembung dengan Azmin Ali

Iklan
Juwairiya dan Azmin

GOMBAK - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli tidak gentar bertembung dengan bekas bosnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Juwairiya, 38, berkata, Azmin bukan orang asing buatnya dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah mereka sudah lama saling mengenali.

Iklan
Iklan

"Beliau bukan orang asing bagi kami, malah beliau bekas timbalan presiden kami, bekas bos saya juga.

"Saya juga pernah bekerja dengan beliau pada 2010 ketika beliau Ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bukit Antarabangsa. Jadi kami kenal dan kawan-kawan pun kenal," katanya kepada media selepas diumumkan sebagai calon sah yang bakal bertanding PRN bagi DUN Hulu Kelang di sini pada Sabtu.

Iklan

Kerusi DUN Hulu Kelang bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PH dan Azmin yang mewakili calon Perikatan Nasional (PN).

Malahan, Juwairiya menegaskan, beliau juga sudah membuktikan lima tahun perkhidmatannya di DUN Bukit Melawati.

Iklan

Menurutnya, pencapaian yang direkodkan sepanjang tempoh itu memberi keyakinan kepada pucuk pimpinan parti untuk meletakkannya bertanding di kerusi baru, DUN Hulu Kelang.

"Jadi, kita tahu pencapaian masing-masing dan saya percaya ini adalah amanah daripada parti. Fokus saya adalah kepada rakyat, pengundi.

"Oleh itu, kita tidak perlu merasa gentar dengan faktor lain kerana tujuan kita adalah untuk memenangi hati rakyat. Itu fokus saya," ujarnya.

Mengulas lanjut, Juwairiya memberitahu, keunikan dan keistimewaan DUN Hulu Kelang kali ini adalah PH mempertaruhkan calon wanita muda sekali gus memberi kelebihan tersendiri kepadanya keran pengundi wanita yang direkodkan di kawasan berkenaan seramai 49 peratus selain turut memiliki ramai pengundi muda.

Sementara itu, ditanya tentang pertukaran calon PH di kerusi itu pada saat akhir, Juwairiya menjelaskan berlaku pertukaran saat akhir dan dia dipindahkan dari Bukit Melawati ke Hulu Kelang, manakala Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah, Anfaal Saari yang disebut-sebut menjadi calon di Dun Hulu Kelang ditukar ke Taman Templer.

"Terjadi 'swap seat' atau pertukaran kerusi iaitu kerusi PKR diberikan kepada Amanah dan DUN Batu Tiga diserahkan kepada Parti Amanah Negara (Amanah), manakala kerusi Batu Tiga adalah kerusi PKR dan kita serahkan kepada Amanah dan Hulu Kelang pula diberikan kepada PKR.

"Pertukaran itu dipersetujui oleh presiden parti masing-masing," katanya.

Juwairiya memberitahu, beliau juga sudah bertemu dengan bekas DUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan anaknya sendiri dan mereka telah menerima keputusan pucuk pimpinan parti.

"Kami telah jelaskan kepada jentera, rakan Amanah bahawa ini semua adalah di luar bidang kuasa kami dan kami hanya akur dengan keputusan parti," ulasnya.