GEORGETOWN - Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan melancarkan Manifesto Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) di Butterworth Arena di Seberang Jaya pada 1 Ogos ini.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, majlis yang akan bermula jam 9 malam itu disifatkan sebagai istimewa kerana sebelum ini, PH hanya melancarkan manifestonya sendiri tanpa BN.
Menurutnya, pada majlis sama, 40 calon Pulau Pinang dari gabungan PH dan BN yang digelar Perpaduan itu akan turut diperkenalkan kepada umum.
"Dengan input-input daripada semua parti dalam PH dan BN, ia akan diperkenalkan sebagai janji-janji pilihan raya negeri (PRN) bagi Pasukan Perpaduan.
"Kita juga akan sentuh tentang manifesto yang lepas, sejauh mana tercapai dan sekiranya belum tercapai, kita akan sambung dalam penggal ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP pada Sabtu.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.
Selepas Bersatu keluar daripada gabungan PH dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dipecat daripada parti yang kemudiannya menyertai PPBM, empat kerusi itu, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam jatuh di bawah Perikatan Nasional (PN).
PRN kali ini menyaksikan buat pertama kalinya PH dan BN bergabung di Pulau Pinang bagi merebut 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.
DAP bertanding di 19 kerusi DUN, BN enam kerusi, PKR bertanding di 13 kerusi manakala Amanah dua kerusi.
Tambah Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, bermula dari Sabtu, pelbagai aktiviti Perpaduan dirancang sepanjang siri kempen sehingga malam sebelum hari mengundi.
"Pelbagai aktiviti dan program akan dijalankan sama ada di peringkat calon sendiri, peringkat negeri dan Pusat. DAP Pulau Pinang juga akan mengatur ceramah-ceramah di peringkat negeri untuk membawa mesej penting kepada pengundi.
"Di peringkat Perpaduan pula, ia akan melibatkan Pusat termasuk kehadiran Perdana Menteri dan barisan pimpinan tertinggi serta menteri yang dinamakan Jelajah Madani.
"Perdana Menteri akan hadir ke Pulau Pinang pada 5 Ogos ini untuk program-program yang telah dirancang iaitu di kawasan pulau dan seberang," katanya.