KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaktifkan bilik gerakan Op Cantas bagi pengumpulan maklumat berkaitan perjalanan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri terlibat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bilik gerakan yang akan berpusat di Bukit Aman ini berperanan dalam mengenal pasti kesalahan yang dilakukan termasuk provokasi atau sebarang elemen negatif sepanjang PRN.
"Segala maklumat akan dihantar terus ke bilik gerakan yang dikenali Op Room Cantas yang berpusat di Bukit Aman.
"Bilik gerakan ini berperanan sebagai tempat pengumpulan maklumat berkaitan provokasi yang dicetuskan mana-mana pihak bagi memastikan tindakan dijalankan segera," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, setiap insiden akan dirakam mengikut masa sebenar (real time) melibatkan keenam negeri terlibat.
"Pelaksanaan tugas ini turut dijalankan oleh unit dron yang mana dron akan diterbangkan di kawasan terlibat di enam negeri.
"Selain penugasan pasukan Op Cantas yang ditugaskan sebelum ini, polis turut menjalankan pemantauan menggunakan dron dan menyalurkannya kepada bilik gerakan Op Cantas ini," katanya.
Razarudin berkata, sejumlah 17,136 anggota PDRM telah digerakkan bagi memantau tahap keselamatan di setiap DUN yang terlibat PRN di enam negeri.
"Penugasan turut dibantu 572 anggota Rela selain sejumlah 82 pasukan Cantas berjumlah 1,459 pegawai dan anggota terlibat bagi memantau proses penamaan calon hari ini.
"Op Cantas, keanggotaan ini telah bermula pertengahan Mei bagi lima lagi negeri telah bermula 29 Jun lepas dengan tangkapan lebih 400 orang," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua parti politik memohon permit sebelum menjalankan sebarang ceramah atau 'walkabout' ketika berkempen sepanjang PRN ini.
Jelas Razarudin, ia bagi memudahkan pihak polis untuk melaksanakan pemantauan sekali gus mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Sebaiknya mohon sehari awal untuk kita pastikan segala proses berjalan lancar, namun saya telah maklumkan kepada Ketua Polis Negeri terlibat, permohonan dalam tempoh 24 jam tetap kita akan teliti.
"Sebarang ceramah atau 'walkabout', mohon permit dahulu supaya tidak berlakunya pertembungan dengan parti lain," katanya.