BERTEMAKAN ‘Perayaan Belia dan Impian’, temasya Sukan Universiti Dunia atau Universiade edisi ke-31 di Chengdu, China dirasmikan oleh Presiden Xi Jinping dalam suasana gilang-gemilang, penuh bercahaya, berwarna warni diiringi dentuman dan percikan bunga api.
Malah, kemeriahan sorakan tanpa henti, keunikan persembahan teknologi tinggi yang jelas mengagumkan hampir 10,000 atlet daripada 113 negara yang menunggu sejak 2021 untuk berkumpul di Stadium Dong’an Lake Sports Park pada Jumaat malam.
Kini giliran Chengdu yang terkenal tempat asalnya, Panda Gergasi - terletak di Wilayah Sichuan, daerah ketiga selepas Beijing 2001 dan Shenzen 2011 menjadi tuan rumah Sukan Universiade yang dianggap kedua terbesar selepas temasya Sukan Olimpik.
Persaingan antara wilayah China dalam menganjurkan temasya sukan antarabangsa menyaksikan komitmen tinggi untuk mereka menonjolkan kehebatan masing-masing daripada aspek penganjuran.
Masing-masing cuba mengekalkan satu penanda aras yang sama tinggi atau mungkin lebih hebat lagi seperti sewaktu Beijing menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2008.
Bukan dua tahun tetapi empat tahun Chengdu mengambil masa menyiapkan diri selaku tuan rumah selepas Universiade Napoli 2019. Malahan, mereka terpaksa menyimpan dan menyelenggara venue dan pelbagai peralatan yang telah siap untuk beroperasi pada 2021.
Malangnya wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada awal 2020 menyebabkan mereka tiada pilihan lain untuk terpaksa menangguhkannya sebanyak dua kali.
Jangka hayat Universiade Chengdu juga hampir tergugat atau terbatal jika China gagal menghentikan wabak ini, namun pendekatan tegas China menangani wabak Covid-19 sejak 2020 hingga 2022 ini akhirnya menyaksikan impian Chengdu menjadi kenyataan.
Sepertimana tema temasya ini khususnya Chengdu yang menjanjikan harapan dan impian untuk menjadi kenyataan ‘Chengdu Makes Dream Come True’, pastilah ia bukan sahaja memberi harapan setinggi gunung kepada penduduknya.
Malah, kepada ribuan atlet universiti dunia yang berhimpun di daerah ini dari 28 Julai hingga 8 Ogos yang mengharapkan dan juga mempercayai bahawa impian mereka juga tidak mustahil boleh menjadi kenyataan.
Harapan dan impian agar menjadi kenyataan turut dibawa bersama kontinjen Malaysia yang dianggotai 66 atlet dan 30 pegawai menyertai temasya kali ini.
Walaupun menyasarkan tiga pingat tanpa mengira warna, namun siapa tahu impian untuk mencatat sejarah membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di pentas Universiade ini boleh menjadi kenyataan di bumi bertuah Chengdu ini.
Pada temasya Universiade Chengdu, kontinjen Malaysia hanya menyertai lapan acara sukan iaitu badminton, memanah, menembak, terjun, renang, wushu, olahraga dan taekwondo.