MARANG - Krisis rumah tangga dialami calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas di Terengganu dijangka tidak menjejaskan sokongan pengundi terhadap gabungan parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.
Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau yakin pengundi kini semakin bijak untuk menilai maklumat yang diterima sama ada ia benar atau sekadar tohmahan demi kepentingan tertentu.
"Mana satu masalah keluarga, mana satu isu sebenar dan isu pokok dalam satu satu pilihan raya. Pada kami ia tidak memberi kesan pada pengundi," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, seorang calon dari Pas didakwa berdepan masalah rumah tangga setelah berkahwin dengan seorang wanita di negara jiran pada tahun lalu.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh seorang wanita yang mendakwa isteri kepada calon tersebut kepada pihak media pada Sabtu.
Wanita berkenaan yang merupakan seorang kontraktor mendakwa dia digantung tidak bertali oleh suaminya yang merupakan salah seorang calon kerusi DUN sebuah parti politik pada PRN kali ini.
Beliau mendakwa, suaminya yang berusia lewat 40-an bertindak mendiamkan diri selepas perkahwinan mereka di negara jiran diketahui isteri pertama lelaki tersebut pada Oktober tahun lalu.
Sementara itu, ahli politik itu ketika ditemui pemberita sebaik selesai proses penamaan calon hanya menjawab ringkas ketika ditanya berhubung perkara itu.
"Insya-ALLAH, kita akan mengambil tindakan," ujarnya ringkas.