[DIKEMAS KINI] ATLET wushu, Mandy Cebelle Chen menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Universiti Dunia atau Universiade edisi ke-31 di Chengdu, China pada Sabtu.
Mandy merangkul gangsa apabila merekodkan 9.633 mata dalam acara taijiquan wanita yang dimenangi atlet China, Chen Xiaoli dengan 9.783 mata, manakala pingat gangsa diraih wakil Jepun, Shoji Rise (9.680 mata).
"Saya berharap ini juga boleh menjadi rangsangan motivasi kepada semua atlet Malaysia yang lain yang bertanding dalam Sukan Universiti Dunia FISU, kita semua telah berlatih bersungguh-sungguh untuk ini dan saya percaya bahawa setiap daripada kita boleh memberikan yang terbaik," kata Mandy.
Kejayaan Mandy itu juga menebus kehampaan jaguh Wushu negara Calvin Lee Wai Wai Leong yang gagal menerusi acara Nanquan lelaki.
Calvin menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan China mengondol emas menerusi Cao Maoyuan apabila mengutip 9.770 mata diikuti Lau Chi Lung dari Hong Kong pingat perak (9.570 mata) manakala gangsa milik Shahin Banitalebi dari Iran dengan (9.566 mata).
Sandaran Malaysia kepada Ang Qi Yue juga tidak kesampaian apabila sekadar menduduki tempat ketujuh menerusi acara Changquan lelaki dengan mata 9.523.
China terus unggul menyapu pingat emas acara tersebut menerusi Jin Zhedian yang mendapat 9.723 mata, manakala juara dunia dari Indonesia, Marvel Edgar Xavier mendapat perak dengan 9.716 mata manakala Chen Yue Xi dari Taipei pingat gangsa dengan 9.706 mata.
Cabaran Malaysia menerusi acara menembak 10 meter Air Pistol Wanita juga berakhir hari ini apabila skuad menembak di barisi Nurul Syasya Nadiah, Anis Ayuni dan Dina Batrisyi menduduki tempat kelima daripada 12 pasukan.
Ketiga-tiga penembak juga gagal untuk berada pada kedudukan terbaik dalam acara individu.