Tambah baik undang-undang tak mesra koperasi - Angkasa

Iklan
Abdul Fattah berucap ketika merasmikan Karnival 100 tahun Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di Dataran Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Sabtu.

IPOH - [DIKEMAS KINI] Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mencadangkan kerajaan untuk memperkemaskan lagi undang-undang dalam membantu koperasi menyumbang jumlah besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, undang-undang sedia ada dilihat tidak mesra koperasi hingga menyukarkan untuk mereka mempelbagaikan cabang perniagaan.

Iklan
Iklan

"Bagi mencapai hasrat itu, kita mencadangkan kerajaan menambah baik undang-undang tak mesra koperasi. Ada beberapa halangan dihadapi antaranya perlu menubuhkan anak syarikat selain koperasi ini tidak diiktiraf sebagai entiti perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 100 tahun Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di Dataran Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Sabtu.

Abdul Fattah (dua dari kanan) meninjau ruang pameran koperasi-koperasi di Perak yang menyertai Karnival 100 tahun KAKIB di Dataran Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Sabtu.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat 15,315 koperasi di seluruh negara dengan mencatatkan perolehan sebanyak RM45.5 bilion pada tahun 2022.

Iklan

Tambahnya, jumlah itu tidak sampai tiga peratus sumbangannya kepada KDNK.

"Selain itu, koperasi itu sendiri merupakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang mana perolehannya serta aktiviti sama dengan industri itu.

Iklan

"Kita mencadangkan insentif yang disediakan kerajaan kepada IKS turut diberikan kepada sektor koperasi," katanya.

Abdul Fattah berkata, cadangan itu telah dikemukakan dalam sesi konsultasi bajet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua minggu lalu.

"Perkara ini sudah lama dibangkitkan sejak 10 tahun lalu, namun masih tiada keputusan. Terdapat jawatankuasa ditubuhkan di peringkat kementerian namun perubahannya perlahan.

"Sekiranya sukar untuk membuat pindaan undang-undang, kita mencadangkan kerajaan memberi pengiktirafan atau memperuntukkan insentif dan bantuan agar koperasi diberi peluang dalam mendapatkan kemudahan yang disediakan," katanya.