KUALA LUMPUR - Melangkah masuk ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, hari ini, aura di Gombak, Selangor menjadi pusat tumpuan blok parti kerajaan dan pembangkang apabila pemimpin utama kedua-dua pihak tampil mengiringi calon masing-masing ketika penamaan calon.
Perhatian terhadap proses penamaan bagi 245 kerusi di enam negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu - jelas lebih tertumpu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu apabila lautan penyokong bersama pemimpin utama parti bertanding memenuhi kawasan itu sejak awal pagi.
Selain nama-nama besar bertanding, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan seterunya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di lokasi sama, menggambarkan pertembungan sengit antara parti Kerajaan Perpaduan, yang dibentuk PH-Barisan Nasional (BN), dan PN.
Seakan menjadi indikasi bahawa kerusi DUN Sungai Tua, Hulu Kelang dan Gombak Setia menjadi sasaran utama parti bertanding, penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, demografi pengundi yang unik di kerusi berkenaan boleh membuktikan tahap sebenar sokongan kepada setiap parti bertanding.
"Ini boleh menjadi tempat referendum dan menjadi tumpuan ramai untuk lihat pola pengundi yang majoritinya Melayu dan menetap di bandar. Ia menjadi tempat penting mana-mana blok untuk menang bagi menunjukkan indikator besar sokongan kepada mereka.
"Saya setuju ia boleh juga disifatkan sebagai ibu PRN ini, di mana kita akan lihat sama ada PH boleh mempertahankan kubu kuatnya atau PN berjaya merampas,” katanya kepada Bernama mengenai tumpuan yang diberikan kepada tiga kerusi berkenaan.
Parlimen Gombak, yang mempunyai pengundi berdaftar sebanyak 49,055 di kerusi Sungai Tua; 88,480 (Gombak Setia); dan 71,702 pemilih di Hulu Kelang, sebelum ini menjadi tapak permulaan bagi dua Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kedua-duanya pernah berada dalam PKR sebelum Mohamed Azmin dipecat parti pada Februari 2020 lalu menyertai Bersatu, yang membentuk blok PN bersama PAS dan Gerakan.
Amirudin, yang menyandang kerusi Sungai Tua sejak 2018 dilantik sebagai Menteri Besar, merampas kerusi Parlimen Gombak daripada Mohamed Azmin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Mohamed Azmin pernah menjadi Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018.
Pada PRN ini, Amirudin yang mempertahankan DUN Sungai Tua akan ditentang calon PN, Muhammad Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, G. Suman, manakala Mohamed Azmin yang berpindah kerusi dari DUN Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang berhadapan bekas ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli, yang merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR.
Buat julung kali, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama-sama pemimpin parti pemerintah peringkat Persekutuan hadir memberi sokongan kepada calon parti Kerajaan Perpaduan di Semenanjung, manakala di blok PN, Mohamed Azmin diiringi Muhyiddin dan penyokong parti.
PRN kali ini menjadi medan pertama PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah bekerjasama dengan BN.
Perjalanan proses penamaan calon di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi di 173 Pusat Penamaan lancar berjalan lancar dan terkawal.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan 570 calon bertanding merebut 245 kerusi DUN, manakala dua calon iaitu Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Pas) berentap dengan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail (PH PKR) di kerusi Kuala Terengganu.
Daripada jumlah itu, 501 calon adalah lelaki dan 71 calon wanita.
Seramai 168 calon bertanding atas tiket PN, PH (137), BN (108), Pas (77), Parti Rakyat Malaysia (13), Parti Ikatan Demokratik Malaysia(Muda) (19), Parti Sosialis Malaysia (PSM) (empat), Penang Front Party (PFP) (dua), Parti Utama Rakyat (PUR) (satu) dan Bebas (41) dalam PRN.
Sebanyak 180 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 51 kerusi (tiga penjuru), 13 kerusi (empat penjuru), manakala DUN Lunas, Kedah menjadi satu-satunya kerusi yang menyaksikan pertandingan lima penjuru.
PRN ini menyaksikan PH dan BN menggunakan logo masing-masing manakala calon PN menggunakan logo PAS bagi pertandingan di Kelantan dan Terengganu.
Selain itu, proses demokrasi kali ini menjadi medan mencuba nasib bagi 41 calon Bebas yang menggunakan logo antaranya kunci, pokok, jam loceng dan pen, dengan Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing 10 calon manakala di Kelantan dan Pulau Pinang masing-masing lima calon dan di Terengganu seorang calon.
Calon termuda PRN ialah Melanie Ting Yi-Hlin, 23, yang bertanding atas tiket Muda di kerusi Bukit Antarabangsa dan calon tertua ialah Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) MS Ravinder Singh, 80, bertanding di Pantai Jerejak, Pulau Pinang.
SPR menetapkan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama