Ini fakta mengenai calon PRN enam negeri

Iklan
Proses penamaan calon di enam negeri berjalan lancar. - Foto Bernama

HARI penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu melabuhkan tirainya semalam sekali gus bermulanya tempoh berkempen ditetapkan selama dua minggu.

Seramai 572 calon mewakili pelbagai parti dan individu, layak bertanding PRN.

Iklan
Iklan

Penamaan calon turut menyaksikan Ketua Turus Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Melanie Ting Yi-Hlin, 23, sebagai calon termuda yang bertanding, manakala Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM), MS Ravinder Singh, 80, menjadi calon paling tua.

Melanie bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan Ravinder Singh mempertaruhkan kerusi DUN Pantai Jerejak.

Iklan

PRN di enam negeri kali ini juga telah menarik penyertaan 41 calon Bebas.

Berdasarkan data pencalonan yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah calon Bebas yang bertanding pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu kali ini adalah kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 570 calon.

Iklan

Dalam masa sama, gelanggang PRN kali ini turut menyaksikan penyertaan tujuh ahli Parlimen yang bertanding.

Antara tokoh politik yang menghantar borang pencalonan semalam ialah Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan Ahli Parlimen Rembau bertanding di DUN Rantau di Negeri Sembilan atas tiket Barisan Nasional (BN).

Selain itu, Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bakal berdepan Rosmadi Ari (PN-Bersatu) untuk mempertahankan kerusi Chennah yang disandangnya sejak pilihan raya umum 2013.

Sementara itu, dua menteri besar dan seorang ketua menteri yang memegang jawatan sebagai ahli Parlimen turut bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Antaranya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-PKR) yang juga Ahli Parlimen Gombak menghadapi pertandingan tiga penjuru bagi mempertahankan kerusi Sungai Tua, dicabar Muhammad Hanif Jamaluddin (PN-Pas) dan Suman Gopal, calon Bebas.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-PKR) yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, turut bertanding berdepan saingan empat penjuru untuk mempertahankan kerusi Sikamat yang diwakilinya sejak 2008, dicabar Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN-Bersatu) dan calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Dalam pada itu, seramai 71 calon wanita juga disahkan layak bertanding pada PRN kali ini.

Sebalik proses penamaan calon yang berjalan lancar, berlaku insiden di luar pusat penamaan calon apabila polis mengesan dua kes penerbangan dron di Kedah termasuk salah satunya yang terhempas menyebabkan seorang penyokong parti cedera di Kuala Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam kes pertama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun selepas dikesan menaikan dron di atas penyokong dipercayai sekitar jam 9 pagi di Pendang.

Dalam kejadian berasingan di Kuala Kedah, seorang wanita yang juga penyokong parti politik cedera di kepala selepas terkena dron yang jatuh mengenainya.

Bagaimanapun mangsa dalam keadaan stabil dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pihak polis difahamkan, dron terbabit diterbangkan untuk kegiatan pertanian dan tersasar ke kawasan kejadian.

Tiada tangkapan dibuat, namun ia masih dalam siasatan.

Kempen PRN termasuk sesi jelajah serta ceramah telah pun mula hangat sebaik selesai penamaan calon dan dijangka terus rancak bermula hari ini apabila jentera parti mengambil peluang cuti hujung minggu bagi mendekati pengundi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!