Meriahkan Bulan Kebangsaan semeriah kempen PRN

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang diadakan bulan depan menyaksikan 'pertembungan' antara meraikan amalan demokrasi dan merayakan momen penting negara iaitu Bulan Kebangsaan.

Dalam kehangatan berpolitik, pakar melihat keseimbangan penyertaan atau penglibatan perlu dimainkan semua pihak agar penghayatan terhadap kecintaan kepada negara dan jiwa patriotisme dapat diterjemahkan sepanjang Bulan Kebangsaan walaupun enam negeri ‘sibuk’ dengan kempen pilihan raya.

Iklan
Iklan

Pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Abdullah Ibrahim berpandangan, ketika parti-parti politik ghairah menaikkan poster dan bendera masing-masing, semangat sama perlu ada dalam menjulang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

"Negara jiran Indonesia juga sedang hangat berkempen untuk pemilihan umum (Pemilu) 2024, kita ambil contoh calon mereka, di setiap akhir ucapan, matlamatnya hanya satu iaitu 'membahagiakan Merah Putih' (bendera Indonesia).

Iklan

"Sepatutnya, calon-calon kita walau dari parti mana sekalipun wajar mengakhiri ucapan dengan mengangkat Jalur Gemilang, mengajak penyokong mengibarkan simbol kesejahteraan dan kedaulatan negara ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, mengimbau kembali sejarah, kemerdekaan yang dicapai negara pada 1957 adalah hasil rundingan antara parti-parti politik yang dibentuk melalui sistem pilihan raya.

Iklan

"Adanya kepimpinan, parti politik dan pemimpin yang terajui kemerdekaan, terhasil daripada gerakan politik massa. Cabang itu (politik dan kemerdekaan) pastinya kita mahu raikan kerana ia saling melengkapi. Kebetulan PRN ini jatuh pada Ogos menyebabkan suhu politik mendidih lebih ketara," katanya.

Sivamurugan yang juga Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara itu berkata, ‘tabiat’ rakyat Malaysia yang menyemarakkan Bulan Kebangsaan hanya pada Ogos semata-mata tidak wajar, sebaliknya pengisian kemerdekaan seharusnya bersifat berterusan.

Pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga menyimpulkan tahap literasi warganegara atas penghayatan kemerdekaan masih terlalu ‘lemah’.

Sivamurugan berpandangan, calon-calon wakil rakyat adalah antara ejen yang berperanan menanam jati diri dan nilai patriotisme serta perlu menonjolkan ciri-ciri suri teladan terbaik ketika di pentas kempen, bukannya memfokuskan kepada ‘pembunuhan’ karakter pihak lawan semata-mata.

"Berpolitik, tetapi tidak abaikan soal-soal kenegaraan. Mereka harus jadi figura boleh dilabel sebagai ahli politik budiman yang tinggi akal budinya, budi pekertinya, budi bahasanya dan budi bicaranya. Kesemuanya berkiblatkan soal ketertiban budi.

"Selain berkempen, mereka (calon) didik dan ajak orang ramai pertahankan kedaulatan negara walaupun berada dalam kancah politik berwarna-warni. Bagi saya kalau tinggi budi mereka, tinggilah adabnya ke atas nilai politik dan soal kenegaraan," katanya yang percaya pengisian kempen sebegitu boleh memenangi hati pengundi.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada 31 Ogos ini bertemakan ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ bakal diadakan di Putrajaya, manakala PRN di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Ogos.

Selain 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di enam negeri itu, turut diadakan pada tarikh sama ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi berkenaan diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula semalam (29 Julai) dan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Ogos nanti. - Bernama