MANJUNG - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui lemas di pantai Teluk Senangin di sini, pada Ahad.
Mangsa, Muhammad Faris Irfan ditemui pada jam 8.20 pagi dalam jarak dua batu nautika dari pantai selepas hilang sejak semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Mohd Akmal Hussin berkata, operasi pencarian dilakukan sejak semalam selepas pihaknya menerima panggilan pada jam 3.19 petang.
Menurutnya, maklumat berkaitan kejadian diterima daripada orang awam menyatakan kanak-kanak tersebut hilang di kawasan pantai berkenaan ketika beriadah bersama ahli keluarga.
"Mangsa dijumpai dalam keadaan berpakaian pada jarak dua batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang oleh nelayan berhampiran Tanjung Hantu.
"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Akmal berkata, operasi menyelamat bermula 3.30 petang, Sabtu dengan pencarian dilakukan secara permukaan di kawasan pantai Teluk Senangin.
Menurutnya, pasukan penyelamat menggunakan bot pula turut melakukan pencarian di laut sejauh dua batu nautika dari lokasi kejadian.
Jelasnya, pencarian mangsa melibatkan 67 orang membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta orang awam.