IPOH - Pertikaian mengenai isu pencalonan dihadapi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) ketika ini hanya bersifat sementara.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu dapat diatasi secara baik oleh parti-parti di dalam PN dan tidak akan menjejaskan kempen.
Menurutnya, rasa kecewa dan tidak puas hati dalam kalangan ahli sudah pun reda selepas tamat proses penamaan calon pada Sabtu.
"Alhamdulillah, kita atasi dengan amat baik dan kami sentiasa menekankan kepada ahli-ahli kita bahawa yang bertanding ini adalah parti kita. Calon tersebut hanya mewakili kita, akhirnya apabila kita memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri, kita bekerja sebagai satu pasukan.
"Bermaksud kita semua orang penyokong parti adalah calon pilihan raya pada hari ini tetapi calon dinamakan itu sekadar wajah mewakili parti kami," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Kemasukan Keahlian Baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak di pekarangan Pejabat Bersatu Perak di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu pengguguran nama Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calon bagi PRN Kelantan dan tindakan boikot oleh ahli-ahli Pas Pulau Pinang terhadap pencalonan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fat Full dan Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Pada majlis itu, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak turut menerima lebih 200 borang keahlian baharu dalam kalangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan sayap bersekutu di Perak.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, fokus lebih penting ketika ini adalah untuk memenangi seberapa banyak kerusi untuk memungkinkan PN menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan sambil mempertahankan kerajaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
"Inilah keindahan PN, kita boleh letakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu dan kita yakin bahawa sokongan orang Melayu kepada parti.
"Jangan risau, walaupun ada pertikaian pada mulanya, kita lihat pada hari ini selepas penamaan calon keadaan semakin reda," katanya yang juga Timbalan Presiden Bersatu.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan adik kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menjadi punca ketiadaan nama Nik Mohammad Abduh sebagai calon PRN Kelantan.
Nik Din Nik Mat turut mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menghantar surat meminta Pas menyenaraikan nama Nik Mohammad Abduh.
Sementara itu, media turut melaporkan di Pulau Pinang, jentera Pas Bayan Lepas dikatakan memboikot Dominic sebagai calon PN di DUN itu untuk menentang Azrul Mahathir Aziz dari Pakatan Harapan.
Malah Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff menyifatkan keadaan itu berpunca akibat parti politik menamakan individu yang berbeza daripada calon asal yang mahu diketengahkan bagi sesuatu kerusi ditandingi.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Mohd Amar nafi dakwaan gugur nama Nik Abduh sebagai calon
Mohd Amar didakwa punca nama Nik Abduh tiada sebagai calon
PRN: Dominic bertanding di Bayan Lepas, Pas akui jentera kena sabotaj