Ada apa dengan Kedah?

Iklan
Kedah diberi lebih banyak tumpuan oleh pihak Kerajaan Perpaduan. - Gambar hiasan

SUNGAI PETANI - Daripada enam negeri yang terlibat dengan pilihan raya negeri (PRN) ini, secara umumnya ramai yang melihat Kedah diberi lebih banyak tumpuan oleh pihak Kerajaan Perpaduan yang merangkumi gandingan Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) dan lawan dari Perikatan Nasional (PN).

Kesungguhan PH-BN dan PN untuk menang di negeri 'Jelapang Padi’ itu dapat dilihat berdasarkan kenyataan pimpinan kedua-dua belah pihak sebelum ini, gerak kerja termasuk program yang dianjurkan, serta penampilan beberapa pemimpin utama di peringkat negeri yang bertanding pada PRN kali ini.

Iklan
Iklan

Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, antara faktor yang membuatkan Kedah menjadi rebutan adalah kerana statusnya sebagai ‘swing state’ dengan kedua-dua blok parti politik utama itu melihat ada potensi untuk memenanginya.

Beliau berkata, senario dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini yang menyaksikan pentadbiran negeri sering bertukar, dijadikan sebagai sandaran oleh parti politik yang bertanding untuk memberikan penekanan kepada Kedah pada PRN ini.

Iklan

"Kedah ini pengundinya boleh 'swing' ke arah mana sekalipun kerana jumlah pengundi atas pagarnya terlalu besar. Mereka (pengundi) boleh ke mana-mana sekalipun, menyebabkan masing-masing parti politik merasakan sentiasa ada peluang 50-50,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Sivamurugan berkata, tekanan akan lebih dirasai oleh PN memandangkan mereka perlu mengekalkan momentum kemenangan diraih pada PRU lepas, yang menyaksikan mereka hampir menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen di negeri itu, kecuali di Parlimen Sungai Petani.

Iklan

Menurut beliau, keputusan PRN kali ini juga akan menjadi satu penanda aras sama ada sokongan yang diperoleh PN pada PRU lalu bersifat kekal dan mampu diulangi pada 12 Ogos nanti atau berubah kepada parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

"Bagi gandingan parti dalam Kerajaan Perpaduan, sudah pasti mereka ingin menguji keberkesanan pembentukan kerjasama baharu yang tidak dibuat sebelum PRU15. Sekiranya mereka memenangi Kedah, ia sekali gus akan menaikkan motivasi dan keazaman dalam Kerajaan Perpaduan, memandangkan Kedah sebilangan besar pengundinya Melayu,” katanya.

Sivamurugan berkata, sekiranya BN/PH dapat benar-benar memanfaatkan tempoh berkempen sebelum hari pengundian nanti, tidak mustahil Kedah berjaya dirampas daripada tangan PN.

"Mereka (BN/PH) perlu menetapkan siapakah calon Menteri Besar mereka, itu penting. Kedua adalah isu yang nak dimainkan, kerana sekarang ini isunya lebih kepada sentimen emosi berbanding dengan hala tuju ataupun masa depan.

"Mereka harus bijak memainkan kedua-dua ini tanpa memberikan tumpuan semata-mata kepada kelemahan lawan dari sudut pencapaian di peringkat negeri,” katanya.

Penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali pula berpandangan, Kedah merupakan sebuah negeri yang berpotensi menjadi negeri maju, dan atas faktor itu Kerajaan Perpaduan merasakan pentadbiran negeri perlu seiring dengan kerajaan Pusat agar pembangunan dapat diselaraskan.

"Hari ini Kedah di bawah Pas. Jadi bagi BN/PH adalah penting untuk mereka tawan negeri ini. Selain itu Menteri Besar juga nampak lantang, banyak pertentangan dengan kerajaan pusat. Jadi adalah penting BN/PH tawan negeri ini untuk menunjukkan bahawa mereka di pihak yang benar,” katanya.

Menurutnya lagi, beberapa kajian yang dijalankan mendapati pengundi di Kedah sudah semakin terbuka dalam menentukan parti pilihan, dan ini membuatkan parti-parti yang bertanding masing-masing merasakan mereka berpeluang untuk menang negeri itu.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah Firdaus Ramli berpendapat, faktor pengundi Melayu menjadi isu utama dalam menentukan kemenangan.

Beliau berkata, sekiranya PH dan BN menawan Kedah, ia secara tidak langsung memberi isyarat bahawa sokongan orang Melayu kepada mereka masih ada, sekali gus menafikan andaian sesetengah pihak bahawa kedua-dua parti itu kehilangan sokongan kaum Melayu khususnya di negeri Utara Semenanjung.

"Sentimen agama dan bangsa akan menjadi pola utama dalam menentukan kecenderungan pengundian khususnya di bahagian utara Kedah selain pengundi muda dan pengundi luar.

"Sekiranya BN/PH mampu tawarkan sesuatu kepada pengundi (peluang pasti ada), kerana ramai pengundi muda mengundi bagaikan mengikut trend, bukan kefahaman terhadap parti atau calon,” katanya.

Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah, dengan sejumlah 104,284 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun. - Bernama