Liga Pro Saudi ubah pasaran bola sepak

Iklan
Pep Guardiola

ARAB Saudi telah mengubah pasaran perpindahan bola sepak dalam usaha negara kaya minyak itu untuk mencipta liga yang kukuh, kata pengendali Manchester City, Pep Guardiola.

Itu reaksi Guardiola selepas pemain sayap Algeria, Riyad Mahrez meninggalkan kelab Liga Perdana tersebut untuk menyertai kelab Al-Ahli.

Iklan
Iklan

Mahrez, yang menjaringkan 78 gol dan membuat 59 bantuan untuk City menyertai kelab berprofil tinggi Liga Pro Saudi dengan jumlah yang dilaporkan 35 juta euro ditambah lima juta tambahan.

Ditanya sama ada dia mahu Mahrez kekal di City, Guardiola memberitahu:

Iklan

"Sudah tentu. Saya seronok sebagai pengurus untuk bersamanya, malah saya mempunyai hubungan istimewa dengannya.

"Arab Saudi telah mengubah pasaran. Beberapa bulan lalu apabila Cristiano (Ronaldo) adalah satu-satunya pemain yang pergi, tiada siapa menyangka ramai pemain terbaik ini akan bermain dalam liga Saudi.

Iklan

"Pada masa depan akan ada lebih banyak lagi dan itulah sebabnya kelab perlu sedar tentang apa yang berlaku. Riyad mendapat tawaran yang luar biasa dan itulah sebabnya kami tidak boleh mengatakan jangan lakukannya.

"Liga Pro Saudi telah menjadi destinasi menarik untuk pemain yang berpangkalan di Eropah sejak Ronaldo berpindah ke Al Nassr pada Januari, dengan pemenang Ballon d'Or Karim Benzema, pemenang Piala Dunia N'Golo Kante dan bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson turut berpindah ke Saudi," katanya.

Menurut pengurus kelahiran Sepanyol itu lagi, City juga boleh kehilangan seorang lagi pemain ke liga Saudi, apabila pemain Portugal, Bernardo Silva dikaitkan dengan perpindahan ke Al Hilal.

"Mereka mahu mencipta liga yang kuat dan setakat ini mereka adalah liga yang boleh melakukannya.

"Buat masa ini, liga Saudi, saya tidak tahu berapa lama mereka akan mengekalkannya, tetapi perasaan mereka akan kekal. Pemain mahu mengambil pengalaman ini untuk bermain dalam liga itu dan mereka mampu melakukannya,” kata Guardiola.

Perlawanan pertama City dalam kempen domestik 2023-24 selepas jelajah pramusim ialah perlawanan Perisai Komuniti menentang Arsenal di Stadium Wembley pada 6 Ogos.